Tindakan undang-undang jika Hannah Yeoh gagal kemuka bukti

Iklan
Daniel Ling Sia Chin, Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR - Tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil kepada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh jika bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu gagal mengemukakan bukti berhubung dakwaan dibuat sebelum ini, kata Ahli Jawatankuasa MCA, Datuk Daniel Ling Sia Chin.

Daniel Ling berkata, Hannah sebelum ini mendakwa parti-parti politik Perikatan Nasional (PN) termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), MCA, MIC dan lain-lain menerima peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepadanya selaku wakil rakyat untuk kawasan itu.

Iklan
Iklan

"Sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Segambut dan Pengerusi MCA Bahagian Segambut, saya gesa (YB) Hannah supaya tampil dan kemukakan bukti bahawa peruntukan kerajaan berjumlah RM3.5 juta telah disalurkan kepada ahli politik PN seperti didakwa.

"Adalah ditegaskan bahawa kami tidak tahu apa yang dimaksudkannya dan kami mahu melihat bukti terhadap dakwaan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Daniel Ling berkata, disebabkan dakwaan Hannah dianggap serius, maka pihaknya berhak mengambil tindakan undang-undang sewajarnya sekiranya Ahli Parlimen Segambut itu gagal mengemukakan bukti.

Katanya, sejak pandemik Covid-19 mula melanda negara ini, beliau bersama-sama ahli MCA Segambut telah turun padang menghulur bantuan membantu penduduk dengan kerjasama daripada persatuan penduduk dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Iklan

Jelasnya, pihaknya dan sukarelawan PN yang lain tidak pernah menerima peruntukan seperti didakwa Hannah malah dana tersebut tidak pernah diagihkan.

"Kerja komuniti kami dibiayai sepenuhnya oleh pihak kami sendiri.

"Saya membuat kesimpulan bahawa fitnah DAP ini dibuat kerana mereka berasa terancam oleh layanan kami kepada penduduk di Segambut dan mereka ingin merosakkan imej kami melalui dakwaan yang tidak berasas,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut membantah penggunaan istilah ‘unelected politician atau ahli politik yang tidak dipilih oleh Hannah Yeoh.

Istilah itu katanya, seolah-olah sindiran bahawa tiada orang yang akan menerima bantuan pihaknya kerana tidak dipilih sebagai wakil rakyat.

"Kami menegaskan bahawa tidak ada undang-undang yang melarang ‘unelected politician’ daripada membantu rakyat; malah bantuan kami tidak diperlukan sekiranya (YB) Segambut sendiri 'turun padang' menjalankan tanggungjawab membantu pengundinya,” katanya.

Sementara itu, Hannah Yeoh yang dihubungi Sinar Harian memaklumkan akan memberikan kenyataan berhubung perkara itu kemudian.