Pemenang Oscar meninggal dunia akibat hentakan di kepala

Iklan
Christopher Plummer

AKTOR legenda, Christopher Plummer meninggal dunia selepas terjatuh di kediamannya di Connecticut, Amerika Syarikat pada usia 91 tahun pada Jumaat.

Menerusi laporan NBC News bintang kelahiran Kanada yang terkenal menerusi watak Kapten Von Trapp dalam filem The Sound of Music itu menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, Elaine Taylor, 50, dan sahabat baik yang juga pengurusnya selama 46 tahun iaitu, Lou Pitt.

Iklan
Iklan

Berita pemergian pemenang Oscar sebanyak tiga kali itu disahkan oleh isterinya akibat hentakan di kepala selepas terjatuh mengikut laporan perubatan.

"Chris adalah seorang yang luar biasa, sangat menyayangi dan menghormati profesion dengan adab lama, penuh humor merendahkan diri dan mencintai muzik.

Iklan

"Mendiang adalah khazanah negara yang sangat menyayangi asal usulnya di bumi Kanada. Melalui seni dan kemanusiaannya, dia menyentuh semua hati kita dan kehidupan legendanya akan bertahan untuk generasi yang akan datang," kata Pitt.

Plummer merupakan pemenang Oscar menerusi filem The Last Station pada 2009, seterusnya filem All the Money in the World (2017) dan terakhir, Beginners (2010). Beliau juga menjadi aktor tertua yang memenangi Oscar pada usia 82 tahun, mengatasi rekod Jessica Tandy.

Iklan

Selain itu, aktor yang dilahirkan di Toronto itu menjadi peneraju watak lelaki romantis dalam filem muzikal dilahirkan dalam keturunan berprofil tinggi itu ialah cucu bekas Perdana Menteri Kanada, John Abbott memiliki banyak aspek keistimewaan sepanjang hidupnya.

Plummer mencatat lebih 200 kredit dalam kerjayanya yang bermula pada 1950-an.

Beliau melangkah sebagai bintang Broadway pada 1954, disusuli kerjaya di kaca televisyen (TV) dengan beberapa watak dalam filem The Philadelphia Story dan Cyrano de Bergerac yang dihidupkan semula atas panggung pada 1970-an.

Dengan nada suara 'bariton', Plummer sering diberikan banyak watak yang menyeramkan, berat dan berkuasa.

Antaranya, lakonannya dikenang sebagai sebagai ketua zalim menerusi filem Inside Daisy Clover (1965) serta peranan antagonis menerusi filem The Night of the Generals (1967), The Man Who Will Be King (1975), Murder by Decree (1979), Dragnet (1987), The Insider (1999), Star Trek VI: The Undiscovered Country (1991), American Tragedy (2000) dan banyak lagi.

Selain itu, Plummer juga membintangi The Fall of the Roman Empire (1964), Oedipus the King (1968), Battle of Britain (1969), Waterloo (1970), The Return of the Pink Panther (1975), Wolf (1994), Dolores Claiborne (1995), Twelve Monkeys (1995), Ararat (2002), Inside Man (2006), Alexander (2004) dan The Girl With the Dragon Tattoo (2011).

Beliau tetap sibuk hingga akhir hayatnya dengan watak dalam Muhammad Ali's Greatest Fight (2013) untuk HBO, Elsa & Fred (2014), The Forger (2014), Al Pacino (2015) dan Knives Out (2019).

Plummer atau nama sebenarnya, Arthur Christopher Orme Plummer dilahirkan pada 13 Disember 1929 memulakan kerjaya di negara asal menerusi pentas teater dan televisyen.

Dengan suara 'bariton' yang sempurna, beliau menjadi pelakon utama Teater Nasional England, Syarikat Royal Shakespeare dan Festival Stratford Kanada.

Beliau mendapat perhatian menerusi filem pertamanya, Sidney Lumet's Stage Struck (1958).

Plummer juga memenangi Anugerah Emmy pada 1977 apabila memegang peranan sebagai eksekutif perbankan menerusi mini siri NBC, The Moneychanger, sebuah adaptasi dari novel Arthur Hailey.

Kemudiannya, sekali lagi menerima anugerah sama menerusi drama bersiri, Madeline Vartoon pada 1994. Pada 2008, beliau menerbitkan autobiografi, In Spite of Myself.

Pemergian Plummer mengejutkan ramai bintang Hollywood termasuklah Julie Andrews, Chris Evans, John Cusack, Elijah Wood, Lou Diamond Phillips dan ramai lagi yang memuatkan status dalam laman sosial.

Plummer meninggalkan isteri, Taylor dan seorang cahaya mata yang juga aktres, Amanda Plummer.