TANJONG KARANG - Kerajaan Selangor digesa tidak terus menindas penjaja kecil yang mencari rezeki sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau menerima banyak aduan terutama daripada penjaja kecil di Puchong berhubung tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bukan sahaja merobohkan gerai tetapi turut mengambil tindakan saman.
Menurutnya, kerajaan negeri seharusnya lebih peka dan prihatin terhadap nasib rakyat terutama mereka yang hanya bergantung kepada punca rezeki itu bagi meneruskan kelangsungan hidup.
"Arahan penguatkuasaan seperti meroboh gerai dan saman tidak sesuai ketika PKP dan darurat pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina di Kampung Tiram Jaya, di sini pada Selasa.
Seramai 500 warga emas dalam kalangan kaum Cina menerima sumbangan itu yang diagihkan pimpinan MCA dari rumah ke rumah penduduk sekitar Parlimen Tanjong Karang.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, kerajaan negeri juga perlu ada dasar yang jelas yang tidak menyusahkan penjaja.
"Kita minta sesuatu tindakan penguatkuasaan yang ingin diambil mengambil kira semua faktor terutama PKP ini.
"Misalnya penjaja yang tiada lesen, janganlah terus keluarkan saman sebaliknya perlu ada budi bicara dan bersifat kemanusiaan,” katanya.