Lima lori disita disyaki buang sampah haram

Iklan
Antara lori yang ditahan oleh MPS ketika rondaan di kawasan hotspot tapak pembuangan sampah haram sekitar Selayang.

SELAYANG - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita lima lori yang disyaki membuang sampah di lokasi 'hotspot' pelupusan sampah haram sekitar Selayang dalam operasi berasingan baru-baru ini.

Yang Dipertua MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, tiga sitaan dilakukan di Sungai Pusu serta Sungai Chincin pada 4 Februari lalu membabitkan lori membawa muatan sisa binaan dan sampah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sitaan seterusnya dilakukan pada 5 Februari di tapak pelupusan sampah di Sungai Pusu, manakala satu lagi kes pada 8 Februari membabitkan lori yang ditahan berdekatan hutan di Apartment M Aruna di Bandar Country Homes.

"Semua pesalah dikompaun sebanyak RM1,000 selain lori yang disita dibawa ke depoh tahanan MPS di Rawang.

Iklan

"Lori tersebut akan ditahan selama 30 hari sebelum dibenarkan untuk tuntutan semula," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, tindakan tersebut diambil di bawah Seksyen 4 (Kompaun) dan Seksyen 21 (Sitaan) di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPS (2007).

Iklan

"MPS memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang terlibat dengan aktiviti pembuangan sampah haram.

"Orang ramai juga diminta untuk melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan masing-masing," katanya.