21 ekor lembu dirampas dipercayai diseludup dari Thailand

Iklan
Lembu yang dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 jam 1 pagi pada Selasa.

TUMPAT - Seorang pemilik ladang ditahan susulan penemuan 21 ekor lembu dalam keadaan basah kuyup dipercayai baru diseludup melalui sungai di Kampung Bendang Pak Yong di sini, awal pagi Selasa.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 pada jam 1 pagi.

Iklan
Iklan

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, pasukan rondaan sebelum itu terserempak dengan beberapa lelaki mengheret lembu masuk ke sebuah kandang di kampung tersebut.

"Menyedari kehadiran pasukan, mereka melarikan diri. Pemeriksaan lanjut di dalam kandang mendapati ada 21 lembu masih basah dan tidak ada tag di telinga.

Iklan

"Haiwan ini dipercayai diseludup masuk dari Thailand melalui pangkalan haram yang berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan dilakukan suspek datang mengaku sebagai pemilik kandang namun gagal mengemukakan dokumen berkaitan pemilikan semua lembu.

Iklan

"Siasatan awal mendapati lembu tersebut dipercayai bagi tujuan sembelihan dan daging akan dijual di pasar berdekatan bergantung kepada permintaan,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan dan lembu dirampas untuk siasatan lanjut serta diserahkan ke Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta MAQIS 2011,” katanya.