SHAH ALAM - Aplikasi SELangkah menerima beberapa penambahbaikan dan naik taraf untuk membantu penduduk Selangor yang terkesan dari aspek kesihatan dan ekonomi akibat Covid-19.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, fungsinya telah ditambah baik daripada sistem penjejakan kontak, kepada aplikasi yang menawarkan pelbagai kemudahan untuk memastikan penggunanya kekal selamat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Beliau yang berucap pada Majlis Pelancaran Aplikasi SELangkah di Facebook Media Selangor berkata, sebelum ini aplikasi itu hanya menawarkan fungsi mengesan premis yang terjejas, semakan risiko pendedahan, trend pengunjung dan log pengunjung.
"Selain fungsi kesihatan, SELangkah juga mempunyai fungsi komersial untuk membantu rakyat yang terkesan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
"Di bawah pengurusan Selgate Corporation Sdn Bhd (SELGATE), aplikasi itu telah diperkasa untuk memberi respons yang lebih efektif dan komprehensif bagi membantu rakyat menempuh serta menangani musibah ini,” katanya pada Selasa.
Penyanyi tanah air, Adibah Noor yang hadir sebagai jurucakap majlis tersebut turut menerangkan ciri-ciri baharu dalam aplikasi berkenaan.
Ujarnya, antara ciri-ciri tersebut ialah pengimbas dwi-sistem, pendaftaran masuk (check-in) menggunakan sistem GPS, paparan sejarah imbasan, dan buletin berkenaan Covid-19.
Dalam pada itu, Adibah berkata, antara pelan masa depan untuk menaik taraf aplikasi tersebut adalah memperkenalkan model ‘Register and Sign up for your Vaccine Pack (RSVP) bagi memudahkan masyarakat mendapat akses kepada vaksin secara lebih teratur.
"Selain itu, aplikasi itu juga memperkenalkan SELangkah Biz sebagai satu kemudahan transaksi tanpa tunai (cashless) untuk peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) serta mikro bagi memudahkan mereka menerima bayaran daripada mana-mana penyedia e-dompet (e-wallet).
"Sehubungan itu, SELangkah Wallet akan diperkenalkan yang berfungsi sebagai penyaluran manfaat kebajikan kepada rakyat, selain menyediakan kaedah pembayaran tanpa tunai.
"Portal SELangkah Pay akan diperkenalkan sebagai pusat sehenti untuk memudahkan pengguna membayar bil utiliti, pembayaran berkaitan kerajaan pusat dan kerajaan tempatan secara dalam talian tanpa perlu keluar dari rumah ketika musim pandemik ini,” katanya.