KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur mengeluarkan 475 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu khas motosikal bersempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Jalan Duta menghala ke pusat bandar di sini malam tadi.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata sebanyak 1,900 motosikal diperiksa sepanjang operasi lima jam bermula 8 malam itu yang turut menyaksikan 15 motosikal disita.
Iklan
Iklan
"Antara kesalahan paling banyak dikesan ialah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai topi keledar, tiada cermin sisi dan kesalahan teknikal seperti mengubah suai nombor pendaftaran,” katanya pada sidang media selepas operasi itu.
Operasi turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya.
Menurut Ismail, seorang wanita berusia 25 tahun ditahan pihak berkuasa selepas didapati positif dadah jenis metamfetamina hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas 28 penunggang dan pembonceng motosikal.
Operasi juga menyaksikan sembilan lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki rakyat India berusia 25 hingga 60 tahun ditahan menurut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah serta tinggal lebih masa.
Ismail berkata operasi bersepadu itu diadakan sebanyak empat kali dalam tempoh dua minggu bermula 29 Jan hingga 12 Feb lalu, bertujuan menangani isu kemalangan membabitkan kenderaan berkenaan.- Bernama