Golongan terdesak paling mudah terlibat rasuah

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU - Individu yang berada dalam situasi terdesak dan tersepit antara golongan paling tinggi terdorong melakukan jenayah rasuah sama ada pemberi atau penerima.

Peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad berkata, jenayah rasuah biasa berlaku dalam situasi terdesak selepas wujudnya persaingan perniagaan terutama keupayaan usahawan mendapatkan projek-projek pembangunan yang ditawarkan.

Iklan
Iklan

"Disebabkan terdesak untuk mendapatkan projek-projek yang ditawarkan dengan harga lumayan, pihak terlibat sanggup melakukan apa sahaja. Contohnya, menawarkan pelbagai imbuhan dengan pihak dirasakan dapat membantunya tanpa memikirkan kesan pada masa akan datang dengan perbuatan tersebut.

"Bermula daripada itu juga akan wujud kesalahan jenayah lain yang boleh dikaitkan seperti salah guna jawatan untuk kepentingan diri yang merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Iklan

"Biasanya, sebagai satu 'penghargaan', ahli perniagaan itu akan menawarkan lima hingga 10 peratus daripada harga projek diperoleh kepada pihak berkenaan sekiranya membantu mendapatkan projek-projek tersebut meskipun syarikatnya tidak layak," katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Mohd Hayatuddin berkata, selain terdesak, individu dalam situasi tersepit dengan persekitaran sanggup memilih jalan salah sehingga bertindak berani menawarkan peguam untuk menjadi 'orang tengah' antara mereka dengan pihak polis atau pun mahkamah.

Iklan

"Mereka ini bertindak sedemikian selepas proses pertuduhan di mahkamah mungkin kerana terlalu tersepit disebabkan takut dijatuhi hukuman berat dan sebagainya sehingga sanggup lakukan apa sahaja.

"Daripada pengalaman saya mengendalikan kes penyalahgunaan dadah dan selepas kes itu dituduh di mahkamah, orang kena tuduh (OKT) tiba-tiba menawarkan saya agar berjumpa dengan polis terlibat untuk urusan keputusan air kencingnya.

"Terkejut juga saya ketika itu kerana tiba-tiba sahaja OKT menyuarakan hasrat sedemikian tetapi saya menolak secara berhemah. Selepas melakukan siasatan, barulah saya temui jawapan kenapa dia bertindak sedemikian," katanya.

Menurutnya, beliau secara peribadi berpendapat masyarakat pada umumnya masih tidak begitu jelas apa yang dimaksudkan dengan rasuah.

"Mereka selalu kaitkan jenayah itu hanya dengan jumlah duit yang banyak ditawarkan serta bakal diterima.

"Sedangkan sebenarnya budaya memberi dan menerima hadiah yang diamalkan sejak berkurun lama terutama pada musim perayaan dan majlis-majlis keramaian turut dikategorikan satu rasuah, cuma bergantung kepada niat individu tersebut.

"Jika pemberi berniat amalan itu cuma sekadar untuk mengeratkan silaturahim serta persahabatan di antara pemberi dan penerima, namun pemberian itu boleh menjadi rasuah apabila diberikan dengan ada tujuan untuk mendapatkan sesuatu keistimewaan, keuntungan, perkhidmatan daripada pihak berkaitan dengan tugas atau urusan rasminya," katanya.