Siri akhir
Oleh kerana budaya rasuah dan kemunafikan politik berpunca, antara lain, daripada"penyakit-penyakit kalbu” (amrāḍ al-qalb) saperti a) cintakan kemewahan dunia (ḥubb al-dunyā yang melibatkan gila kuasa, gila pangkat, gila harta, gila tahta), b) egoisme, c) tamak haloba, d) hasad dengki, e) takabbur, f) riyā’, g)`ujub, h) kemarahan yang tidak rasional dan melampau, i) perasaan dendam yang membara dalam kalbu dan j) menjadi mangsa"tipu daya kehidupan dunyawi” (ghurūr min al-ḥayāt al-dunyā) dan tipu helah Syaitan (ghurūr al-Gharūr), maka saya ingin menyarankan agar parti-parti politik bermajoriti orang Islam di abad 21 yang penuh dengan globalisasi al-fasād (Q. al-Rūm 30: 41) perlu membuat anjakan paradigma – sempena pandemik Covid-19 – kepada Paradigma Transformasi Dalaman yang bakal menghancurkan"koloni anai-anai” egoisme, individualisme, pemikiran tak rasional, keta`assuban, ektrimisme, kronisme, kolusi, rasisme, hasad dengki, ḥubb al-dunyā, gila kuasa, gila harta, gila kedudukan dan gila populariti.
Apabila koloni anai-anai itu bertukar menjadi koloni sarang lebah bermadu yang membawa shifā’ (penawar) dan wujudnya pimpinan baru yang penuh integriti, ketulusan dan kebijaksanaan yang jujur serta tawāḍu` dan akhlak mulia, hasil Paradigma Transformasi Dalaman itu, in syaa’ Allah SWT, persaudaraan yang murni dan perpaduan yang hakiki akan tumbuh, menggantikan hubungan kemanusiaan atau politik yang penuh dusta dan kepalsuan.
Pelaksanakan Paradigma Transformasi Dalaman ini ialah suatu proses pendidikan kerohanian tak formal tetapi dilembagakan (institutionalised). Tentang betapa pentingnya pendidikan kerohanian (tarbiah rūḥiyyah) ini dalam kerjaya dan kehidupan orang Islam, saya ingin memetik pandangan yang diberikan oleh Dr. Yūsuf al-Qaraḍāwī dalam sebuah bukunya:
Tarbiah [imani yang tulus] inilah yang membasuh hati mereka dari cinta dunia dan cinta diri; yang menuntunnya menuju ALLAH Ta`ala; tarbiah yang membebaskannya daripada menyembah benda, hawa nafsu dan prasangka supaya mereka hanya beribadah kepada ALLAH hingga akhirnya mereka bisa menyucikan fikiran daripada kemusyrikan, membersihkan hati dari kemunafikan, menjauhkan lisan dari kedustaan, membersihkan mata dari pengkhianatan, menjauhkan perkataan dari senda gurau, menyucikan ibadah dari riya’, membersihkan interaksi dari penipuan dan menjauhkan kehidupan dari kontradiksi....
Manusia wajib meneladani generasi [Sahabat Rasul ALLAH SAW] Rabbani ini; berakhlak dengan akhlak mereka...serta mengamalkan cabang keimanan yang berjumlah 77 dalam kehidupan mereka agar ALLAH meredai mereka dan agar mereka sampai ketingkatan iḥsān...”Kamu menyembah ALLAH seakan-akan kamu melihatNya. Jika kamu tidak melihatnya, [pastilah] sesungguhnya Ia melihat kamu.”
Seorang Muslim perlu mengetahui kekurangan diri, penyakit hati, tipu daya hawa nafsu, dan pintu-pintu masuk Setan. Juga bagaimana mereka bisa menjauhinya menurut kemampuannya (kerana pencegahan lebih memberi jaminan), dan bagaimana mengubatinya jika mereka telah terjerumus di dalamnya....Sayangnya, manusia yang menderita penyakit hati lebih menaruh perhatian serius kepada penyakit tubuh. Penyakit hati sendiri diacuhkan. Jika mereka menyadari pun, ke mana mereka akan menemukan dokter hati? (Yūsuf al-Qaraḍāwī, Mensufikan Salafi dan Mensalafikan Sufi. (tr. Abdul Masjid. Yogyakarta: USWAH, 2008: 34-35)
Program pendidikan transformatif ini harus bertujuan untuk 1) meningkatkan kefahaman yang mendalam dan tepat mengenai konsep-konsep agama Islam yang penting dan relevan dengan sistem, budaya dan landskap politik Malaysia, dan 2) membangun budaya dan etika politik baru yang besih daripada"penyakit-penyakit jiwa” yang terkeji (madhmūmah) sesuai dengan keperibadian dan jati-diri orang-orang yang beriman (al-Mu’minūn). Oleh yang demikian kandungan program pendidikan rohani-akhlaki perlu menitikberatkan, antara lain, isu-isu berikut:
a)Mengenali pandangan alam Islam Tauhidik berdasarkan al-Quran dan Sunnah untuk memahami ontologi, kosmologi, epistemologi, axiologi, etika, anthropologi, sosiologi, estetika dan eskatologi dari perspektif al-Qur’an dan Sunnah.
b)Manusia sebagai Hamba dan Khalifah ALLAH SWT di bumi ALLAH SWT berpandukan kepada panduan dan contoh yang diwarisi daripada sejarah anbiya’ dan Sunnah Rasul Allah S.A.W.
c)Kenapa ALLAH SWT jadikan alam, apakah sifat alam dan bagaimana seharusnya hubungan antara manusia dengan alam semesta. Manusia harus memenuhi hak-hak Allah SWT, hak-hak manusia –- Muslim dan non-Muslim – dan hak-hak makhluk lain dalam alam semesta. Tetapi hak-hak ALLAH SWT mengatasi semua hak-hak makhluk.
d) Kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat, satu pendekatan perbandingan dengan ideologi dan agama-agama lain. Peranan Syarī`ah dan Maqāṣid al-Syari`ah dalam mengurus dunia dan memanfaatkan alam tabi`i. Keistimewaan dalam sistem perundangan, sistem pentadbiran dan sistem perekonomian Islamik harus dibandingkan dengan apa yang wujud dalam sistem-sistem perundangan sekular, pentadbiran sekular dan perekonomian kapitalisme liberal, sosialis dan komunis.
e)Orang-orang beriman (al-Mu’minūn) adalah bersaudara dalam suatu ummah serta ikatan Ukhuwwah Islāmiyyah. Bagaimana kepentingan Ummah dan Ukhuwwah Islāmiyyah mengatasi kepentingan parti, bangsa dan negara tanpa menjejaskan hubungan yang baik dan damai dengan masyarakat bukan Islam akan dijelaskan.
f)Tanggungjawab dan sifat-sifat Mukmin sejati dengan prinsip dakwah bi’l-ḥikmah dan raḥmatan li’l-`ālamīn akan ditonjol.
g)Wawasan dan misi Ummah Wasaṭ dan Khair Ummah akan diterangkan dengan sebaik-baiknya, dan dibandingkan dengan faham Kebangsaan, Perkauman, atau Kenegaraan sekular.
h)Hubungan kemanusiaan dan persaudaraan masyarakat Muslim dengan masyarakat bukan Islam atas dasar karāmah insāniyyah (penghormatan terhadap ketinggian martabat semua manusia ciptaan Tuhan Yang Satu, yang sama-sama mempunyai rūḥ dan fiṭrah anugerah Ilahi kepada semua insan), ta`āruf, ta`āwun dan ta`āyush silmī; menolak sebarang paksaan keatas masyarakat bukan Islam dan sikap kefanatikan, kekerasan dan kebencian. Hamba-hamba ALLAH SWT yang sebaik-baiknya (`Ibād al-Raḥman) ialah mereka yang melayani dan menyantuni semua insan berpandukan prinsip raḥmatan li’l-`ālamīn, rasa hormat dan kasih sayang sebagaimana yang dicontohi dan disunnahkan oleh Rasulullah SAW akan dijelaskan. Pelaksanaan prinsip keadilan dan ihsan serta adab-adab mahmūdah (terpuji) dan akhlak karīmah (mulia dan lohor) dalam masyarakat madani dan majmuk dalam negara Malaysia mestilah di tegakkan oleh pihak yang berkuasa beragama Islam, tanpa sebarang prejudis atau prasangka yang berpunca daripada perbezaan etnik atau agama.
i) Memahami konsep dan pengertian kerajaan, pentadbiran dan kepimpinan dan tanggungjawab kepimpinan dari perspektif Islam, yang dibincang dan dianalisis secara perbandigan dengan konsepsi-konsepsi sekular, agnostik atau atheistik.
j) Konsep kuasa, harta dan penanggungjawapan (akauntabiliti) dari perspektif Islam dikupas secara tuntas dan perbandingan, dengan merujuk kepada sumber-sumber berwibawa baik tradisional mahu pun moden.
k) Contoh-contoh perlakuan dan amalan kepemimpinan Rabbani dalam sejarah dan peradaban Islam diketengahkan, dibincang dan difahami untuk dipraktikkan oleh pemimpin politik atau individu-individu yang bakal menjadi generasi pemimpin masa depan. Konsentrasi terhadap pribadi, akhlak murni Rasulu’Llah S.A.W. dan ajaran-ajaran Baginda dalam membanteras"penyakit-penyakit jiwa” (amrāḍ al-qalb).
l) Implikasi iman kepada Hari Akhirat dan kematian diterangkan supaya motivasi atau niat berkaya dalam bidang politik atau pemerintahan menjadi jelas, suci dan bebas daripada dihingapi"penyakit-penyakit jiwa”.
m) Ujian-ujian ALLAH SWT yang getir (disebut sebagai fitan dalam kitab-kitab hadis tentang peristiwa-peristiwa dahsyat pada akhir zaman diberi penjelasan yang tepat, berdasarkan teks al-Qur’an, tafsir yang berwibawa dan hadith sahih sahaja supaya sikap Mukmin yang sabar, bersyukur, optimis dan transformatif tetap terpelihara.
n) Jenis-jenis ghurūr (tipu daya, tipu helah, delusi, illusi, penipuan) dalam kehidupan dunia dan kehidupan politik semasa akan dibincang secara mendalam dan menyeluruh, berdasarkan teks dalam Qur’an dan tulisan ulama-ulama muktabar seperti Imam al-Ghazali dalam Bab Mengenai Tercelanya Tipu Daya (Bāb dhamm al-ghurūr) dalam kitab Iḥyā’ `Ulūm al-Dīn.
o) Memahami"keajaiban kalbu” (`ajā’ib al-qalb) manusia sebagai pusat kerohanian, punca pemikiran dan perbuatan manusia dan yang perlu sentiasa dijaga, dibersihkan dan ditingkatkan kesedaran rohaninya sehingga ia terselamat daripada :
a) penyakit-penyakit jiwa/kalbu/psycho-spiritual yang boleh menjahanamkan (sifat-sifat muhlikāt – yang membinasakan diri dan masyarakat dari perspektif kerohanian) manusia saperti egoisme, narcissisme, takabbur, riyā’ (ingin mendapat sanjungan, pujian atau sangka baik orang),`ujb (merasa bangga dengan"keistimewaan”,"kehebatan” atau"kelebihan” yang disangka ada pada diri, lalu memandang rendah orang lain), hasad dengki, kemarahan yang melampau, dendam kesumat, buruk sangka, gila dunia, gila kuasa, gila harta, gila pangkat, gila syahwat, gila populariti dan gila maksiat.
Perbincangan tentang selok belok hawa nafsu dan pelbagai cara yang dilakukan oleh Syaitan dalam usaha merosakkan kalbu dan akhlak orang-orang Mukmin dan hubungan mereka dengan orang lain akan diberi perhatian khusus. Begitu juga dengan tahap-tahap perkembangan nafsu atau diri dari tahap rendah, al-nafs al-ammārah (nafsu yang menyuruh melakukan kemungkaran atau kejahatan), tahap menengah, al-nafs al-lawwāmah (nafsu yang mendorong diri untuk membuat kebaikan, taubat atau tingkatkan taqwa kepada Allah SWT setelah berlakunya kemaksiatan atau kemungkaran), dan tahap tertinggi, al-nafs al-muṭma’innah (nafsu yang sudah mencapai ketenangan dan kestabilan dalam menuju kepada keredhaan Ilahi) akan dibincang secara panjang lebar dan berkesan. Perkara-perkara yang dinamakan oleh Imam al-Ghazali sebagai al-munjiyāt (perkara-perkara yang menyelamatkan diri dan masyarakat) dalam ilmu kerohanian Islam atau taṣawwuf daripada penyakit-penyakit kerohanian-moral yang merbahaya yang tersebut di atas akan dibincang secara mendalam dan berkesan oleh para pensyarah atau motivator-motivator yang pakar dalam bidang tarbiah īmāniyyah akhlāqiyyah rūḥiyyah, berkelayakan, berilmu dan berpengalaman.
b)Mengetahui dan menghayati janji-janji ALLAH SWT yang banyak sekali dalam al-Quran dan hadis, kepada orang-orang Mukmin, Muttaqi, Muhsin dan juga kepada orang-orang kafir, musyrik, munafiq, zalim, fasiq, mujrim. Pendedahan kepada janji-janji ALLAH SWT yang begitu positif dan meyakinkan para mukminin akan menjadi insentif keagamaan dan kerohanian yang hebat dan dapat mengalahkan motif-motif murahan yang didorong oleh janji-janji indah yang dibuat oleh pehak atau parti yang menentang kepentingan umat dan agama Islam. Para pemimpin Islam yang berpenyakit jiwa, yang jahil atau tidak peka dengan janji-janji atau ancaman ALLAH SWT itu akan mudah terjerat oleh janji-janji manis pihak yang merancang supaya kepentingan politik umat Islam dapat dikalahkan oleh mereka.
Program untuk menjayakan agenda Pendidikan Tansformasi Dalaman ini sebaik-baiknya di bahagi kepada tiga peringkat – 1) Peringkat Asasi, 2) Peringkat Menengah dan 3) Prengkat Tinggi. Setelah ahli-ahli parti yang terpilih menjalani program PTD 1,2,3 dengan jayanya selama berapa tahun berada dalam parti, calon-calon yang bakal menduduki barisan kepimpinan parti akan menjalani Program PTD Khusus (untuk bakal pemimpin), yang akan didedahkan kepada kurikulum yang dirangka khusus dari segi teori dan amali bagi tujuan menjamin kekebalan penghayatan keagamaan, kerohanian dan akhlak para pemimpin parti dalam berhadapan dengan ujian-ujian tak terjangka, cabaran-cabaran politik, ekonomi, intelektual, moral dan rohani.
4.Penutup
Negara sudah memasuki dekad kedua dalam Abad 21, dan rakyat Malaysia masih diancam berterusannya krisis ekonomi dan sosial akibat ganasnya pandemik Covid-19. Sekarang kita berada dalam keadaan darurat yang bakal berterusan sampai bulan Ogos.
Bagi parti-parti politik keadaan darurat tidak menghalang mereka terus bersilat demi kepentingan parti dan kepentingan beberapa orang pemimpin yang berkonflik tanpa kesudahan.
Darurat juga tidak akan menghalang korupsi dalam budaya politik dan kemunafikan sebagai dua faktor perpecahan berterusan bangsa Melayu dan juga perpecahan masyarakat berbilang kaum. Yang diharapkan oleh kita yang tidak bermain politik ialah akan menurunnya energi perosak Covid-19 dan akan muncul suatu budaya politik yang baru, dan tatakelola pentadbiran awam yang menjiwai dan mengamalkan nilai-nilai kejujuran, ketelusan dan kestabilan demi kesejahteraan fizikal, moral dan rohani bangsa, dan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Akhir sekali saya ingin berkongsi sebuah hadis sahih tentang makna dan risiko besar yang ada dalam kepimpinan atau kekuasaan yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad S.A.W. ketika Abu Dharr al-Ghifari menyatakan keinginan beliau untuk diberikan tugas kepimpinan dalam masyarakat.
Baginda Rasulullah (s.a.w.) berkata kepada Abu Dhar,"Wahai Abu Dhar, kamu seorang yang tidak kuat, sedangkan ia (kepimpinan dan kekuasaan) adalah amanah, dan pada Hari Qiyamat ia menjadi punca kamu dimalukan dan akan membawa kepada penyesalan (sudah terlambat) melainkan orang yang memberikan tanggungjawab itu haknya dan ia menunaikan amanah yang dia pikul terhadapnya.”