STL Champions Cup kembali pada 2 Mac depan

Iklan
STL Champions Cup bakal bersambung semula pada 2 Mac depan dengan latihan setiap pasukan akan bermula pada Isnin ini.

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) menetapkan bahawa Kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) Champions Cup 2020 akan disambung semula pada 2 Mac hingga 6 Mac selepas ia ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 13 Januari lalu.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, kejohanan tersebut akan dilangsungkan tanpa penonton sebagaimana yang telah dilaksanakan megikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Kejohanan pada kali ini juga akan dijalankan secara gelembung sukan (sport bubbles) di mana semua pegawai dan pemain akan tinggal di pusat kuarantin yang telah ditetapkan oleh PSM.

"Bagi memastikan SOP yang telah ditetapkan diikuti, kami akan menyediakan pengangkutan dalaman untuk membawa pegawai dan pemain dari pusat kuarantin ke venue kejohanan dan balik semula ke pusat kuarantin.

Iklan

"Selain itu PSM juga telah menguruskan makan dan minum bagi kesemua pegawai dan pemain yang terlibat semasa mereka menginap di pusat kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Susulan pengumuman kerajaan berkaitan kelonggaran kepada aktiviti sukan, pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga-M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan STL kini mampu menarik nafas lega apabila dibenarkan menjalani sesi latihan secara kuarantin mulai Isnin ini.

Iklan

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu kenyataan pada Selasa menyifatkan ia sebagai langkah awal sektor sukan dan rekreasi dapat bernafas semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas lanjut, Ahmad turut memaklumkan bahawa setiap pasukan mempunyai masa bagi membuat persiapan latihan dan persediaan bagi mencari kesefahaman, keserasian serta kombinasi regu masing-masing kerana latihan boleh bermula pada Isnin depan.

"Saya juga dengan ini berharap setiap latihan berpusat di negeri masing-masing sebagai persediaan pasukan menghadapi STL Champions Cup ini akan benar-benar mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan.

"Mereka semua hendaklah melaksanakan latihan tersebut secara Quarantin Based Approach sama ada di pusat kuarantin atau dikuarantin di rumah sahaja.

"Dengan kelonggaran yang diberikan ini juga akan dapat memudahkan kami membuat persiapan atlet bagi menghadapi Sukan Sea 2021 yang dijadualkan berlangsung Vietnam pada bulan November nanti,” katanya.

Jelasnya, kaedah gelembung sukan yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan tidak menjadi masalah kepada PSM kerana pernah melaksanakannya pada STL 2020 dan dua hari pertama STL Champions Cup.

"Saya meminta semua pegawai dan pemain untuk memelihara dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan oleh MKN, PSM dan Kementerian Belia dan Sukan.

"Proses nyahkuman akan dijalankan di setiap venue kejohanan akan terus dilakukan setiap hari selepas setiap perlawanan tamat,” katanya.