Kerajaan lulus permohonan PSU pertama RM12.76 bilion

Iklan
Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR - Kerajaan meluluskan permohonan berjumlah RM12.76 bilion bagi Program Subsidi Upah Fasa Pertama (PSU 1.0) setakat 29 Januari 2021, kata Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau juga berkata, sejumlah 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat PSU di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Iklan
Iklan

"Di bawah Kita Prihatin, bagi Program Subsidi Upah Fasa Dua (PSU 2.0), sejumlah RM741.16 juta telah disalurkan kepada 64,345 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 518,793 pekerja.

"Semasa Belanjawan 2021, PSU bersasar juga diperkenalkan bagi membantu sektor pelancongan dan peruncitan, manakala kesemua sektor yang terkesan oleh pelaksanaan PKP tahun ini adalah layak untuk menerima sokongan PSU 3.0 di bawah Pakej Bantuan Permai,” katanya semasa membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-40 pada Rabu.

Iklan

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Majlis Pekerjaan Negara yang bermesyuarat bagi kali kedua pada 9 Februari menganggarkan bahawa lebih daripada 160,000 pekerjaan baharu bakal diwujudkan tahun ini melalui pelaburan komited.

"Diharapkan dengan usaha bersama semua pihak yang terlibat, kadar pengangguran 4.8 peratus yang dicatatkan pada hujung Disember 2020 dapat kita kurangkan pada bulan-bulan yang mendatang, terutamanya dengan adanya usaha berterusan kerajaan ke arah ini seperti portal MyFutureJobs (https://www.myfuturejobs.gov.my/) dan platform e-LATiH (https://latih.hrdf.com.my/) Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

Iklan

Tengku Zafrul juga mengingatkan semua agar terus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalani aktiviti ekonomi dan kehidupan harian kerana pemulihan ekonomi sebahagiannya disandarkan kepada kemampuan kita untuk memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19.

"Dalam pada itu, kerajaan tidak akan berhenti memberikan sokongan terhadap kapasiti kesihatan awam dan menjamin kelangsungan perniagaan serta melindungi punca rezeki rakyat melalui bantuan yang akan diteruskan,” katanya. - Bernama