Balu Abam tukar majlis tahlil, beri makanan percuma

Iklan
Nurhidayah memberikan mi kari percuma kepada pelanggan yang singgah di kedai makannya di Medan Selera MDSB Jalan Tebedu pada Ahad.

SABAK BERNAM - Balu pelakon dan pelawak terkenal, Allahyarham Abam Bocey, Siti Nurhidayah Mohd Ali menunaikan hasratnya bersedekah mi kari dan bihun sup kepada pelanggan yang singgah di kedai makannya di Medan Selera Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Jalan Tebedu pada Ahad.

Nurhidayah, 29, berkata, sebanyak 200 bungkus mi kari dan bihun sup diagihkan dalam masa hanya 45 minit kepada pelanggan yang berkunjung ke gerainya bermula jam 12 tengah hari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau pada mulanya merancang mengadakan majlis tahlil arwah suaminya yang genap setahun meninggal dunia pada 10 Februari tahun lalu.

"Pada mulanya saya berniat mengadakan kenduri tahlil arwah, tetapi disebabkan masih PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) saya memilih untuk memberi makanan kepada pelanggan.

Iklan

"Alhamdulillah hari ini ALLAH memakbulkan doa saya untuk saya berkongsi dengan pelanggan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Nurhidayah, beliau memilih memberi makanan mi kari dan bihun sup kepada pelanggan memandangkan Allahyarham suaminya amat menggemari makanan itu.

Iklan

Katanya, semua makanan itu ditempah daripada adiknya, Mohammad Zainuddin Mohd Ali, 27, dan adik ipar, Nor Farhana Nordin, 22.

"Arwah paling suka mi kari, kalau hari raya biasanya memang inilah makanan kegemarannya.

"Malah, arwah ada beritahu hidangan mi kari ini boleh dijual kerana mempunyai keenakan rasanya yang tersendiri," katanya.

Mengulas lanjut perniagaan kedai makannya, Nurhidayah berkata, perniagaan diusahakannya bersama keluarga itu mula dibuka sejak tiga bulan lalu.

Katanya, sebelum ini beliau mengusahakan gerai cempedak goreng tepi jalan di Pekan Sabak Bernam.

"Sejak tiga bulan ini pelbagai cabaran dihadapi terutama ketika PKP. Berniaga pun ada pasang dan surut tapi saya bersyukur kerana keluarga amat membantu dan memberi sokongan yang kuat.

"Kami menyediakan pelbagai platform untuk memastikan perniagaan terus berkembang antaranya menyediakan perkhidmatan kaedah tunai semasa penyerahan (COD) selain turut mempromosi kedai makan di media sosial," katanya.

Katanya, kedai makannya itu beroperasi pada setiap hari bermula dari jam 11 pagi hingga jam 4 petang.

"Kami menyediakan masakan panas dan antara menu istimewa yang ada di sini adalah cendol dan air batu campur durian," katanya.