Guru berkorban hantar, ambil bahan pengajaran di rumah pelajar

Iklan
Sumbangan tablet juga telah dilancarkan kepada keluarga murid yang tidak berkemampuan.

KUBANG PASU - Guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Wan Kemara di Changlun di sini mengambil inisiatif menghantar dan mengambil bahan pengajaran di rumah pelajar untuk memastikan tidak ada pelajar tercicir ketika menjalani kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

Guru Besar SK Dato' Wan Kemara, Mohd Nizam Saidin berkata, inisiatif itu juga merupakan kesinambungan usaha mereka sejak tahun lalu yang telah mengamalkan pengambilan bahan pengajaran di sekolah oleh ibu bapa.

Mohd Nizam

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, setelah diteliti terdapat sedikit kekangan bagi segelintir waris yang tidak menerima maklumat daripada pihak sekolah.

"Jadi pada tahun ini kita buat penambahbaikkan dengan memberi sumbangan tablet kepada murid yang tidak mampu selain turut menghantar kerja sekolah di rumah mereka," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, bahan pengajaran itu dihantar seminggu sekali ke rumah pelajar yang bermasalah seperti warisnya keluar bekerja atau waris tidak mempunyai kenderaan untuk hadir mengambil bahan di sekolah.

"Jadi, bila kita sendiri hantar modul itu dapat juga kita lihat apa yang kurang kerana selalunya murid sebegini mereka ada masalah kewangan, maka pihak sekolah dapat menghulurkan sedikit bantuan hasil sumbangan guru-guru," katanya.

Sumbangan tablet juga telah dilancarkan kepada keluarga murid yang tidak berkemampuan.

Iklan

Mohd Nizam berkata, pihak sekolah mempunyai data 60 pelajar asnaf yang membantu memudahkan mereka untuk mengenalpasti golongan sasaran.

"Berkaitan sumbangan tablet ini, Alhamdulillah setakat ini kita sudah membeli 30 tablet yang mana ada di antaranya adalah sumbangan daripada individu luar dan juga syarikat.

"Kami turut mengalu-alukan lebih ramai pihak untuk tampil membantu kami kerana murid di sekolah ini kebanyakkan datang dari keluarga yang sederhana di mana ibu bapa hanya melakukan kerja kampung untuk menyara keluarga," katanya.

Sementara itu, Guru Kaunseling SK Dato' Wan Kemara, Alizawati Abdul Rahim berkata, tanggungjawabnya ketika ini bukan sahaja untuk menyampaikan bahan pengajaran semata-mata sebaliknya turut memainkan peranan untuk menyuntik semangat belajar dalam kalangan murid.

Bukan sahaja menghantar dan mengambil bahan pengajaran malah guru-guru SK Dato' Wan Kemara turut menghulurkan bantuan makanan kepada keluarga murid yang memerlukan.

"Bagaimanapun kita juga mempunyai kekangan kerana kita dapat pergi kesemua rumah mereka apatah lagi dalam musim Covid-19 ini kita perlu menjaga SOP.

"Jadi ada yang kita kirimkan bahan kepada jiran-jiran atau rakan-rakan manakala selebihnya yang betul-betul perlu perhatian baru saya dan guru-guru lain akan turun padang," katanya.

Menurutnya, sebagai guru beliau sedaya upaya ingin membantu murid-murid sekolah berkenaan agar tidak ada yang tercicir dalam pelajaran sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

"Bantuan ini bukan sahaja dari segi edarkan bahan pengajaran malah saya turut beri bimbingan secara individu kepada murid-murid selai panduan kepada waris bagaimana cara untuk membantu anak mereka untuk belajar di rumah.

"Dari situ juga saya dapat selami apa masalah yang dihadapi oleh golongan ini yang mana maklumat yang diperolehi akan disalurkan kepada pentadbiran sekolah untuk tindakan selanjutnya," katanya.