SHAH ALAM – Anak petugas barisan hadapan (frontliners) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diberikan langganan MAHIR Tutor secara percuma.
Pengasas PlanetMahir, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berkata, Kelas Digital MAHIR Tutor adalah kelas tuisyen digital ‘video-on-demand’ yang disediakan PlanetMahir khas untuk calon SPM.
"Ini adalah sebagai sumbangan kami kepada mereka yang sedang bertungkus-lumus berjuang tanpa mengenal erti penat dan lelah untuk memastikan kita terpelihara daripada wabak virus yang merbahaya ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya, MAHIR Tutor kini mempunyai seramai lebih 200,000 pelajar di seluruh negara.
"Terdapat 10 subjek SPM yang ditawarkan iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Pendidikan Islam, Sains, Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan.
"Semua kelas pembelajaran subjek ini dirakam bagi membolehkan pelajar mengikuti sebarang tajuk pembelajaran di mana sahaja, pada bila-bila masa,” katanya.
Ahmad Ramzi berkata, ia adalah inisiatif mereka untuk memberikan sokongan sekali gus menghargai jasa petugas barisan hadapan.
"Semoga sumbangan yang tidak seberapa ini dapat membantu anak-anak petugas barisan hadapan kita membuat ulang kaji pembelajaran dan membuat persiapan secukupnya bagi menghadapi peperiksaan SPM nanti.
"Anak-anak petugas barisan hadapan bolehlah ke laman web kami di planetmahir.com untuk mengikuti kelas percuma,” katanya.