SIK - Tindakan seorang lelaki bisu dan dua wanita yang cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis tidak berjaya apabila mereka ditahan bersama-sama 2,600 kilogram daun ketum di belakang sebuah rumah di Kampung Chong, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, serbuan pada jam 12.15 malam itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik dalam Ops Khas Ketum selepas mendapat maklumat awam.
Menurutnya, ketika serbuan ketiga-tiga mereka yang berusia antara 31 hingga 39 tahun itu dipercayai baru selesai membungkus daun ketum ke dalam plastik hitam dan sedang menunggu lori untuk dihantar ke Kuala Lumpur dengan nilai pasaran RM156,000.
"Siasatan awal mendapati bekalan daun ketum itu diperolehi dari Kampung Lamdin, Padang Terap, Kampung Kuala Beris dan sekitar Kampung Chong, di sini untuk pasaran Kuala Lumpur berikutan harganya yang tinggi mencecah RM60 sekilogram berbanding pasaran tempatan hanya RM10 sekilogram,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, kesemua suspek yang bekerja kampung itu dipercayai aktif melakukan kegiatan terbabit sejak setahun lalu.
"Mereka turut mengakui sudah beberapa kali mengedar daun ketum ke Kuala Lumpur dan Kelantan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memandangkan permintaan yang tinggi di sana," katanya.
Tambah Abdull Razak, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
"Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara empat tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.