MELAKA - Dewan Negara akan mengusulkan cadangan untuk menarik balik gelaran Datuk bagi individu yang mempunyai rekod jenayah.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, perkara berkenaan diusulkan ketika perbincangan secara maya oleh senator-senator sepanjang tempoh Parlimen tidak bersidang semasa proklamasi darurat ketika ini.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun menurutnya, ia tertakluk kepada keputusan dalam persidangan dan keputusan setiap anugerah itu juga terpulang kepada Sultan, Raja atau Yang Dipertua Negeri yang terlibat.
"Cadangan itu diusulkan sendiri oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang mana ia telah dipersetujui oleh ahli-ahli Dewan Negara.
"Hasil perbincangan itu kita telah kumpulkan segala maklumat dan cadangan, termasuklah menarik semula gelaran Datuk bagi individu yang didapati bersalah atau mempunyai rekod jenayah," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Sanitasi Penyemburan Udara di RUTC Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut beliau berkata, cadangan tersebut bertujuan untuk menjaga keistimewaan dan kehormatan anugerah tersebut khususnya di mata masyarakat.
"Ia juga akan dikemukakan dalam persidangan Dewan Negara untuk membuat keputusan," katanya.