KLANG -"Baru dua hari lepas abah cakap umur dia dah 68 tahun, dua tahun lagi dia mungkin 'akan pergi' tapi siapa duga ia sebenarnya 'dua hari' bukan dua tahun," kata Farah Nabila Muhamed Saris ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Farah Nabila, 35, yang merupakan penyunting di Sinar Harian kehilangan bapa tersayang, Muhamed Saris Mustakim, 68, yang ditemui rebah tidak sedarkan diri di dalam bilik air rumah mereka di Kampung Kuantan, di sini pada Selasa sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 9.30 malam hari yang sama.
Menurutnya, ketika kejadian dia sedang bekerja sebelum dimaklumkan oleh adik iparnya.
"Masa terima panggilan itu memang sangat terkejut sebab sebelum masuk kerja petang semalam (Selasa), saya singgah ke rumah abah emak untuk hantar anak-anak dan ketika itu abah sedang tidur.
"Tak sangka pula dapat berita sedih ini, tambah lagi emak beritahu abah sihat-sihat sahaja dan boleh bercakap macam biasa sebelum kejadian," katanya.
Farah Nabila berkata, namun dia dan keluarga khususnya emak, Salmah Hamid, 60, reda dengan pemergian abah.
"Abah memang dah lama uzur dan tidak sihat kerana ada masalah jantung, darah tinggi serta kencing manis. Sejak 2014, abah dah mula menjalani dialisis dan sering keluar masuk hospital.
"Walaupun sedih, kami sekeluarga relakan pemergian abah," katanya.
Tambah Farah Nabila, dalam tempoh seminggu dua ini arwah bapanya sering bercakap soal kematian tetapi mereka sekeluarga tidak menyangka ia adalah petanda awal, namun syukur banyak permintaan arwah sempat ditunaikan termasuk ingin menikmati masakan minang.
Sementara itu, jenazah Allahyarham Muhamed Saris dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cemerlang, di sini pada jam 11.30 pagi pada Rabu dan beliau meninggalkan seorang balu serta tiga orang anak iaitu Siti Zuraidah, 37, Mohamad Fitri, 30, termasuk Farah Nabila.
Dalam pada itu, Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang serta Pengarang Eksekutif (Cetak), Azmi Tarmizi turut hadir menziarahi keluarga Farah Nabila dan menyampaikan sumbangan wang tunai daripada syarikat.