DUNGUN - Seorang lelaki yang disyaki melarikan anak dan mencederakan isterinya ditahan reman selama empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, permohonan reman itu dibuat di Mahkamah Majistret, di sini selepas suspek berusia 32 tahun itu ditahan malam tadi di sebuah rumah di Seremban, Negeri Sembilan.
Iklan
Iklan
"Suspek bersama bayi yang berusia 14 bulan itu telah dibawa balik ke Dungun dan bayi itu diserahkan kembali kepada ibunya.
"Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini (Rabu) hingga Sabtu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan seorang suri rumah berusia 32 tahun yang dalam proses perceraian cedera selepas diseret kenderaan dipandu suaminya ketika menghalang lelaki itu daripada melarikan bayi lelaki mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, suri rumah berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian pipi, jari kelingking, jari hantu serta luka di lutut. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Suri rumah cedera diseret, halang suami larikan anak