PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju menetapkan had harga syiling bagi RON95 dan diesel susulan trend harga pasaran sebenar produk petroleum semakin meningkat.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penetapan had harga syiling itu bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak di pasaran global.
"Harga runcit RON95 dihadkan pada paras siling RM2.05 manakala diesel, RM2.18 bagi seliter," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, paras harga siling yang ditetapkan itu adalah lebih rendah berbanding had harga yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu.
"Pada tahun 2019, kerajaan ketika itu menetapkan RM2.08 bagi RON95 dan diesel adalah RM2.18 bagi setiap liter," katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi.
"Trend peningkatan harga minyak global dipengaruhi oleh pelan vaksinasi Covid-19 yang mula dilancarkan di seluruh dunia.
"Malaysia sendiri akan melancarkan Program Imunisasi Kebangsaannnya bermula hujung Februari 2021," katanya.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan tetap komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.
"Kerajaan juga akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah bersesuaian bagi mengimbangi tanggungan subsidi kerajaan," katanya.