KKM bincang dapatkan 30 peratus lagi bekalan vaksin

Iklan
KKM sedang giat bincang dengan Pfizer untuk mendapatkan 30 peratus lagi bekalan vaksin Covid-19. - Foto Agensi

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang giat berbincang dengan syarikat farmaseutikal, Pfizer untuk mendapatkan 30 peratus lagi bekalan vaksin Covid-19, COMIRNATY (Concentrate For Dispersion For Injection) keluaran Pfizer-BioNTech.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dengan penambahan itu, bekalan vaksin akan boleh meliputi 50 peratus populasi Malaysia.

Iklan
Iklan

Merujuk kepada penerimaan bekalan vaksin daripada Pfizer yang akan tiba lebih awal daripada jangkaan, beliau berkata, ia akan membolehkan Program Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan lebih awal.

"Ini adalah kekuatan kita (Malaysia) untuk berunding dengan syarikat Pfizer dan vaksin itu telah memberi kesan yang baik kepada banyak negara dalam memastikan imuniti diberikan kepada masyarakat," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Iklan

Dr Adham sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia akan menerima vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech seminggu lebih awal sebelum Program Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 26 Februari bermula.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia terima vaksin Pfizer-BioNTech seminggu lebih awal

Malaysia akan menerima vaksin itu susulan perjanjian penghantaran pertama yang dimeterai pada 11 Januari lepas antara KKM dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd, membabitkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 dos, yang meliputi 20 peratus populasi Malaysia dengan dua dos tiap seorang.

Mengenai langkah diambil KKM untuk memastikan Program Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjalan lancar, Dr Adham berkata, KKM telah menjalankan satu kajian dalam talian pada bulan Disember lepas dan mendapati 67 peratus daripada 200,000 peserta bersetuju mengambil vaksin Covid-19.

Katanya, 17 peratus daripada peserta pula tidak pasti dan 16 peratus lagi tidak bersetuju.

"KKM sudah menjalankan beberapa tindakan untuk memastikan 17 peratus yang tidak pasti itu akan menjadi kumpulan yang setuju mengambil vaksin.

"Mereka boleh tidak bersetuju (mengambil vaksin), tetapi jangan adakan kempen tidak setuju untuk orang lain, kerana ia menyalahi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Katanya, program pelan imunisasi penting bagi memastikan Malaysia mencapai imuniti kelompok dengan memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada 80 peratus penduduk. - Bernama