ALOR SETAR - Pengusaha restoran di negeri ini berharap kelonggaran untuk makan di kedai dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan diteruskan bagi mengelakkan mereka menanggung kerugian yang lebih tinggi.
Pemilik Restoran Haji Ramli Nasi Kandar di Simpang Empat, Rosliza Ramli, 45, berkata, pengumuman kerajaan berkaitan perkara itu pada Selasa amat melegakan mereka kerana keuntungan jualan banyak bergantung kepada jumlah pelanggan yang menikmati makanan di kedai.
Katanya, kelonggaran yang diberikan itu setidak-tidaknya dapat meningkatkan sedikit pendapatan mereka yang sebelum ini terjejas setelah kerajaan membenarkan pembelian makanan secara bawa pulang sahaja.
"Alhamdulillah hari ini pelanggan mulai ramai ketika waktu makan tengah hari, ada yang keluar rehat dan datang makan di sini, tetapi mereka masih mematuhi SOP dengan hanya dua orang bagi setiap meja," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Menurutnya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama pada tahun lalu perniagaan mereka mengalami kerugian yang sangat besar.
"Jadi saya harap kebenaran untuk 'dine in' ini tidak ditarik semula dan akan berterusan supaya kami dapat meneruskan momentum perniagaan seperti biasa.
"Bagi saya walaupun hanya dibenarkan dua orang pelanggan bagi setiap meja, namun ia suatu berita yang sangat baik dan kami sebagai pengusaha akan memastikan setiap SOP di kedai makan dipatuhi oleh pelanggan," katanya.
Sementara itu, Pengusaha Ady Cendol Jitra, Suairdie Johari, 41, berkata, kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan dapat memulihkan kembali perniagaan kebanyakan peniaga yang agak 'sendu' sejak PKP 2.0 dilaksanakan pada 22 Januari lalu.
"Bagaimanapun saya berharap kelonggaran ini dimanfaatkan sebaiknya oleh semua pihak terutamanya para pelanggan," katanya.
Bagi pengusaha Pak Yob Gulai Temenung Panas, Nasriyah Ayob, 30, berkata, sepanjang pelaksanaan PKP 2.0 perniagaannya agak merosot sehingga terpaksa mengurangkan pembelian barang basah sehingga 50 peratus.
"Kedai lauk pauk seperti saya ini selalunya menjadi pilihan pekerja di waktu rehat, apabila kerajaan hanya benarkan kaedah bungkus dan bawa pulang, pelanggan kami terus berkurangan.
"Apatah lagi ketika PKP ini hanya berapa peratus sahaja pekerja dibenarkan bekerja dan selebihnya hanya bekerja di rumah.
"Tetapi Alhamdulillah bermula semalam kerajaan sudah benarkan sektor peruncitan beroperasi, jadi saya harap ia menjadi asbab pelanggan di kedai saya akan meningkat semula," katanya
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa mengumumkan bahawa kerajaan melalui sidang khas Majlis Keselamatan Negara memutuskan untuk membenarkan restoran dan kedai makan beroperasi secara 'dine in' atau makan di kedai dengan SOP yang ketat dengan jumlah dua orang semeja bermula 10 Februari.
Ends