SHAH ALAM – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merekodkan sebanyak RM1.99 bilion jumlah deposit akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi tahun 2020, meningkat sebanyak RM623.82 juta atau 45.58 peratus berbanding RM1.37 bilion pada tahun 2019.
Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, rekod itu merupakan pencapaian cemerlang untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2018, terutama dalam menggalakkan penabungan melalui SSPN.
"Jumlah keseluruhan deposit SSPN terkumpul sehingga 31 Disember 2020 ialah RM7.88 bilion, manakala terimaan deposit berjumlah RM1.99 bilion bagi tahun 2020 ini merupakan 132.82 peratus berbanding sasaran tahun 2020 sebanyak RM1.5 bilion,
"Bagi prestasi pembukaan akaun baharu SSPN pula, sebanyak 436,101 akaun dibuka pada tahun 2020 berbanding sasaran tahunan sebanyak 400,000 akaun. Pencapaian ini adalah 109.03 peratus berbanding sasaran tahunan.
"Secara keseluruhan, sehingga 31 Disember 2020 sebanyak 4.82 juta akaun SSPN dibuka sejak instrumen simpanan ini diperkenalkan pada tahun 2004,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, keuntungan pelaburan terkumpul juga menunjukkan peningkatan bagi tahun 2020 kepada RM237.42 juta.
Wan Saiful berkata, prestasi tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 15.7 peratus berbanding RM205.28 juta pada tahun sebelumnya.
"Ketika saya mengambil alih sebagai Pengerusi pada 18 Jun 2018, antara penekanan saya ialah untuk mengurangkan bebanan kewangan anak muda.
"Saya sedar ia tidak boleh terhasil serta-merta tetapi memerlukan usaha jangka panjang untuk memupuk budaya menabung dalam hati masyarakat.
"Pada tahun 2017, jumlah terimaan deposit hanya RM726.84 juta. Syukur dalam masa kurang tiga tahun saya di PTPTN, kita berjaya meningkatkan jumlah deposit SSPN sebanyak hampir tiga kali ganda berbanding 2017 dan keuntungan juga meningkat setiap tahun,” katanya.
Tambah beliau lagi, PTPTN juga telah memperbanyakkan saluran untuk transaksi dalam talian bagi memudahkan masyarakat menyimpan dalam SSPN.
"Penerimaan masyarakat semakin baik dan ia dapat dilihat jelas apabila sebanyak 66.39 peratus daripada jumlah deposit simpanan kini adalah melalui transaksi secara dalam talian berbanding melalui transaksi di kaunter.
"Penggunaan sistem dalam talian yang lebih banyak memang perlu kita laksanakan demi memastikan urusan pelanggan berjalan dengan cepat, mudah dan selamat terutamanya ketika situasi semasa pandemik Covid-19 yang melanda negara,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, pada tahun 2020, PTPTN telah berjaya membantu seramai 150,567 pelajar yang ditawar melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi melalui pinjaman pendidikan yang diluluskan berjumlah RM3.59 bilion sehingga mereka tamat belajar.
"Daripada jumlah itu seramai 59,421 pelajar atau 39.46 peratus membabitkan pinjaman pendidikan RM1.6 bilion adalah daripada golongan B40 dan kurang berkemampuan, manakala kutipan bayaran balik sebanyak RM1.353 bilion direkodkan, ia melebihi sasaran pada tahun 2020 sebanyak RM1.175 bilion.
"Pada tahun 2021, PTPTN akan teruskan usaha membudayakan penabungan supaya kebergantungan kepada hutang akan berkurangan pada masa depan,” katanya.