KUALA LUMPUR - Perkhidmatan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang mula beroperasi secara berperingkat mulai 25 Januari lepas telah memantau 60,052 pesakit Covid-19 setakat 9 Februari, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 152 buah pusat CAC yang sedang beroperasi di seluruh negara, mengendalikan penilaian pesakit positif Covid-19 yang menjalani rawatan pemantauan di rumah.
"Pada masa ini, CAC sedang memantau seramai 20,089 pesakit yang sedang menjalani pengasingan di rumah. Penilaian dan pemantauan pesakit ini dijalankan oleh pasukan yang diketuai oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga serta dibantu oleh anggota sokongan klinikal yang lain," menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 di sini pada Rabu.
Beliau berkata, bagi melancarkan perkhidmatan, CAC beroperasi sama ada di stadium, dewan komuniti, balai raya atau mana-mana fasiliti kerajaan, bergantung kepada kesesuaian dan keperluan setempat dari 8 pagi hingga 5 petang hari bekerja dan ada juga CAC yang beroperasi pada hari minggu.
Menurut data preliminari kumulatif pesakit positif Covid-19 yang hadir ke CAC mengikut negeri, Selangor merekodkan angka tertinggi dengan 24,863 pesakit diikuti Johor (16,561), Kuala Lumpur dan Putrajaya (8,022), Melaka (3,128) dan Pulau Pinang seramai 1,686 pesakit.
Dr Noor Hisham berkata, pesakit Covid-19 yang menjalani pengasingan di rumah juga perlu melakukan pemantauan kendiri melalui Home Assessment Tool yang dibekalkan oleh CAC.
"Pesakit tersebut juga perlu melaporkan status kesihatan setiap hari melalui aplikasi MySejahtera atau apabila dihubungi oleh anggota kesihatan dan perlu menghubungi CAC dengan kadar segera atau talian 999 untuk kecemasan kalau terdapat kemerosotan gejala," katanya.
Maklumat lanjut berkenaan pemantauan kendiri di rumah boleh dirujuk di laman sesawang Portal Covid-19 Malaysia KKM (http://covid-19.moh.gov.my/ )
Butiran lanjut mengenai waktu operasi CAC ini turut dipaparkan di portal tersebut dan media sosial (Facebook) Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing. - Bernama