Tidak perlu bimbang operasi PKRC Johor

Iklan
PKRC pertama di Johor iaitu di Stadium MBPG, Pasir Gudang mula beroperasi pada Rabu bagi merawat dan menempatkan pesakit Covid-19 Kategori satu dan dua dari seluruh negeri.

PASIR GUDANG - Penduduk di bandar raya ini tidak perlu bimbang dengan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Johor di Stadium Tertutup Pasir Gudang di sini yang mula beroperasi pada Rabu.

Datuk Bandar Pasir Gudang, Asman Shah Abd Rahman berkata, pelbagai langkah keselamatan diambil untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

Iklan
Iklan

"Antara langkah yang diambil ialah menutup laluan dan kawasan sekitar yang akan dikawal selama 24 jam sehari oleh pihak berkuasa.

"Stadium tertutup berkenaan dan kawasan sekitarnya juga sudah ditutup untuk kegunaan orang awam," katanya dalam sidang akhbar selepas penyerahan sumbangan peralatan oleh Lotte Chemical Titan Sdn Bhd di sini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, Pengarah dan Komander PKRC Johor, Dr Mohd Fathi Zaki Mohd Zakaria dan Naib Presiden Eksekutif Lotte Chemical Titan Sdn Bhd, Lee Jung Hyeng.

Beliau berkata, kawasan berkenaan biasanya digunakan penduduk setempat untuk melakukan aktiviti riadah seperti berjoging dan berbasikal.

Iklan

PKRC pertama di Johor itu beroperasi sepenuhnya yang dapat menempatkan sehingga 1,200 pesakit positif Covid-19 bagi kategori satu dan dua iaitu mereka yang diklasifikasi sebagai tidak bergejala dan tidak berisiko tinggi.

Kira-kira 100 pesakit Covid-19 daripada seluruh Johor dijangka akan mula ditempatkan di PKRC itu bermula Rabu.

Dalam perkembangan lain, Asman Shah berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak termasuk syarikat swasta dalam memastikan operasi PKRC Johor lancar dan mencapai matlamatnya.

"Kami mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak khususnya melibatkan peralatan keperluan seperti kelengkapan penjagaan diri, mesin basuh dan mesin pengering.

"Sumbangan itu akan dapat membantu pihak berkuasa memastikan kesejahteraan dan kesihatan pesakit di PKRC ini terjamin sepanjang tempoh 10 hari mereka menjalani kuarantin" katanya.