KOTA KINABALU - Solat fardu berjemaah, solat Jumaat serta aktiviti keagamaan di semua masjid dan surau di Sabah dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jumaat ini (12 Februari).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat termasuk tidak melebihi 15 orang dalam satu waktu bagi solat fardu berjemaah manakala bagi solat Jumaat, tidak melebihi 45 orang.
Iklan
Iklan
"Aktiviti keagamaan di rumah-rumah ibadat yang lain dibenarkan dengan kapasiti satu pertiga keluasan tempat ibadat atau tidak melebihi 45 orang dalam satu-satu masa berkuat kuasa pada hari sama,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.
Jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 itu berkata, kerajaan negeri turut bersetuju membenarkan aktiviti makan di restoran terhad kepada dua orang bagi satu meja berkuat kuasa Rabu selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan.
"Bagaimanapun, warga emas dan kanak-kanak adalah tidak digalakkan,” katanya.
Mengulas perkembangan Covid-19 di Sabah, Masidi berkata, sebanyak 132 kes baharu direkodkan pada Rabu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negeri itu sebanyak 50,855 dengan empat kematian dilaporkan melibatkan dua di Tawau serta masing-masing satu di Putatan dan Sandakan.
Katanya, seramai 174 pesakit Covid-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah 48,535 orang. - Bernama