Siapakah Sasterawan Negara ke-15?

Iklan

SETELAH Siti Zainon Ismail, penyair yang terkenal dalam bidang busana dan seni lukis terpilih menerima Anugerah Sastera Negara, kini sasterawan dan peminat sastera tertanya-tanya siapakah yang akan dipilih menjadi Sasterawan Negara yang baharu?

Sasterawan Negara hendaklah memiliki keistimewaan dalam penulisan karya sastera sama ada puisi, cerpen, novel atau drama. Keris Mas selaku Sasterawan Negara pertama, bagus dalam bidang novel dan cerpen. Muhammad Haji Salleh ialah sarjana sastera tetapi pemilihannya bukanlah kerana kesarjanaannya. Beliau dipilih kerana puisi-puisinya yang baik.

Iklan
Iklan

Siti Zainon Ismail ialah Sasterawan Negara ke-14. Bidang keutamaannya adalah puisi. Anwar Ridhwan yang telah menerima Anugerah Sasterawan Negara sebelum itu kerana kebagusannya dalam novel dan cerpen.

Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan Sasterawan Negara tidak hanya tertumpu pada satu bidang. Anwar yang terkenal sebagai novelis, ada juga menghasilkan puisi dan drama. Buku puisinya bertajuk Tercipta Dari Tanah.

Iklan

Zurinah Hassan dan Siti Zainon dikenali dalam bidang puisi, ada juga menulis cerpen. Jadi, saya tidak bersetuju jika Sasterawan Negara dipilih atas satu-satu bidang sastera. Sasterawan Negara elok mahir dalam beberapa bidang sastera. Pengarang berbakat besar yang belum dipilih menjadi Sasterawan Negara ialah Rahman Shaari, Siti Zaleha Hashim, Mahaya Mohd Yassin, Azman Noordin dan seorang dua lagi. Terdapat juga penulis yang lebih muda seperti Marsli N O, Zaen Kasturi dan SM Zakir. Persoalannya, adakah mereka dicalonkan?

Mereka bukanlah aktif menulis karya dalam satu bidang sahaja. Penyair, Rahman ada menghasilkan novel, cerpen dan drama. Persembahan dramanya menarik dan saya pernah membaca ulasan Dinsman tentang dramanya Tawanan Mantera di Pulau Impian yang dipentaskan pada 2019. Saya juga pernah membaca ulasan Dinsman tentang deklamasi Rahman yang menghafal beratus puisi Malaysia. Penghafalan puisi adalah satu kelebihan Rahman.

Iklan

Ada puisi Rahman yang dinamakan oleh Muhammad Haji Salleh sebagai puisi idea. Ada puisi naratif iaitu penyair bercerita. Sajak Harimau Luka adalah sajak cerita iaitu tentang seekor harimau yang tersinggung kerana tuannya melukakan kalbunya. Apakah yang dibuat oleh tuan (penjaga) harimau itu? Rahman merahsiakannya menjadikan puisi itu berunsur suspen. Saya juga menyenangi puisi Milah Anak Maksum dan Hantu Menyambut Merdeka.

Setiap pengarang ada stail dan kandungan karyanya. Penyair wanita seperti Siti Zaleha ada tema tersendiri. Demikian juga Mahaya dan Azman. Siti Zaleha dan Mahaya ialah penyair, manakala Azman ialah novelis. Adakah panel Anugerah Sastera akan memilih sasterawan wanita untuk kali ketiga berturut-turut?

Pemilihan bukanlah dibahagi-bahagikan antara lelaki dan wanita. Pemilihan juga tidak membezakan penulis puisi, novel atau skrip drama. Pemilihan bersandarkan mutu karya dan sumbangan yang terus menerus (konsisten).

Secara umumnya, seorang Sasterawan Negara merupakan penulis yang berjasa memajukan kesusasteraan sama ada melalui karya kreatif, kritikan, persembahan di pentas atau ceramah yang bersifat pendidikan sastera. Sumbangan yang wajib atau terpenting tentulah karya kreatif sama ada puisi, novel atau cerpen. Tanda seseorang itu maju dalam bidang kreatif antara lain kemenangan dalam sayembara penulisan atau menang Hadiah Sastera Perdana atau hadiah sastera anjuran pihak lain termasuk kerajaan negeri.

Selain itu, penerima anugerah Sea Write Award juga perlu dipertimbangkan untuk dipilih. Rahman dan Azman ialah penerima Sea Write Award. Itu antara kriteria tambahan untuk memperkuat syarat seseorang penulis dipilih menjadi Sasterawan Negara.

Sekarang adalah masa pencalonan sasterawan, untuk pemilihan yang akan dilaksanakan nanti. Kita semua ternanti-nanti siapakah Sasterawan Negara yang ke-15?

* Profesor Emeritus Dr Hashim Yaacob ialah bekas naib canselor institusi pengajian tinggi awam dan swasta