SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman mencadangkan pihak kerajaan agar menggubal polisi yang lebih baik bagi memudahkan urusan permohonan masyarakat dalam mendapatkan bantuan.
Beliau berkata, cara permohonan sumbangan daripada agensi kerajaan seperti Lembaga Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dilihat sukar dan mempunyai proses yang ketat.
"Kadang-kadang kita lihat cara permohonan itu agak leceh juga. Ada yang terlalu ketat, ada yang mengikut garis kemiskinan ahli keluarga itu.
"Kadang-kadang kita tengok isi rumah itu pun, kita kena ikut logik akal.
"Gajinya memang nampak tinggi, tetapi kalau isi rumah yang ramai, keadaan ekonomi dan sebagainya dan sebab itulah mereka memohon bantuan,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Siri ke-230 bertajuk ‘NGO: Niat Tolong Atau Saja Nak Nama?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.
Wacana itu turut menampilkan Aktivis NGO, Syed Azmi Alhabshi dan Pendakwah bebas, Mohamad Amirul Amin Maulana Lokmah Hakim atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Amin sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Dalam pada itu, Young Syefura berkata, badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat dan wakil rakyat perlu bekerjasama antara satu sama lain.
"Peranan mereka adalah sangat penting dan tujuan utama kita iaitu membantu mereka yang memerlukan bantuan dan perhatian kita.
"Supaya golongan memerlukan ini tidak lagi terbeban dengan masalah kewangan, masalah tidak makan, tiada susu, lampin untuk anak kecil dan sebagainya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kebersamaan ini adalah demi memastikan semua bantuan dan sumbangan daripada pihak-pihak yang terlibat dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan.