Biden umum sekatan ke atas Myanmar

Iklan
Joe Biden

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Rabu mengumumkan sekatan terhadap para pemimpin tentera Myanmar dan menuntut mereka menyerahkan kuasa selepas puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun di jalan raya bagi mendesak negara itu kembali mengamalkan sistem demokrasi.

Biden berkata, pentadbirannya akan menghalang jeneral-jeneral tentera Myanmar daripada mendapatkan akses untuk mengeluarkan dana berjumlah AS$1 bilion (RM4.05 bilion) di AS dan akan mendedahkan sekatan terbaharu tidak lama lagi.

Iklan
Iklan

"Saya sekali lagi meminta tentera Burma (nama lama bagi Myanmar) untuk membebaskan beberapa pemimpin politik yang demokratik dan aktivis yang kini mereka tahan termasuk Aung San Suu Kyi dan Win Myint (Presiden Myanmar).

"Pihak tentera mesti melepaskan kuasa," katanya seperti dilaporkan oleh AFP.

Iklan

Pada minggu lalu, Suu Kyi iaitu pemimpin parti Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD) yang juga Penasihat Kerajaan dan beberapa pemimpin NLD ditahan.

Pihak tentera yang melakukan rampasan kuasa selepas mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya umum pada November tahun lalu.

Iklan

Dalam pilihan raya itu, NLD memperoleh kemenangan besar sekali gus akan membentuk kerajaan di negara tersebut dengan persidangan Parlimen dijadualkan diadakan pada 1 Februari lalu.

Pada Rabu lalu, tunjuk perasaan antirampasan kuasa itu yang turut menuntut pembebasan Suu Kyi memasuki hari kelima berturut-turut di Yangon.

Dua orang cedera parah dalam tunjuk perasaan di ibu kota Myanmar iaitu di Naypyidaw termasuk seorang wanita yang ditembak di bahagian kepala.

Dalam pada itu, kenyataan Biden itu dibuat selepas Ketua Dasar Asing Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell memberi amaran blok kesatuan ekonomi itu akan melaksanakan sekatan ke atas tentera Myanmar.

Presiden AS itu berkata, Washington akan bekerjasama dengan rakan-rakan antarabangsanya bagi mendesak negara-negara lain melaksanakan sekatan tersebut. - Agensi