Terpedaya tawaran mesin basuh murah

Iklan
Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN - Seorang lelaki membuat laporan polis pada Rabu dengan mendakwa kerugian RM6,500 selepas ditipu dalam urusan pembelian barang elektrik murah secara dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 50 tahun itu, membuat pesanan lima mesin basuh dan lapan mesin pengering yang setiap satu berharga RM500 selepas melihat iklan penjualannya di Facebook.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pada 29 Januari lalu mangsa berurusan dengan suspek yang mengaku menjual pelbagai barangan elektrik melalui syarikat yang beralamat di Muar, Johor dan suspek memperdaya mangsa dengan menghantar gambar mesin basuh serta alat pengering yang kononnya dijual secara murah sempena penjualan penghabisan stok.

"Mangsa berminat untuk membelinya dan membuat bayaran penuh ke atas barangan yang dipesan melalui satu akaun bank atas nama seorang lelaki pada 3 Februari lalu.

Iklan

"Selepas bayaran dibuat, mangsa dijanjikan barang itu akan dihantar melalui khidmat syarikat kurier dalam tempoh dua atau tiga hari," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Wazir berkata, bagi meyakinkan mangsa, suspek memberikan resit pembelian dan nombor 'tracking' penghantaran.

Iklan

"Hari berikutnya, mangsa membuat semakan nombor 'tracking' melalui satu aplikasi syarikat kurier berkenaan dan mendapati tiada sebarang penghantaran didaftarkan atas nombor tersebut.

"Mangsa juga membuat semakan dengan menghubungi syarikat penjual barangan elektrik tersebut sebelum dimaklumkan dia mungkin telah ditipu kerana sebelum ini ada pihak menggunakan nama syarikat itu untuk menipu dengan menjual barangan tidak wujud," katanya.

Beliau berkata, susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Lipis pada Rabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis kini mengesan seorang lelaki pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan," katanya.