KOTA KINABALU - Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia yang terdiri daripada lebih 100 badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan satu memorandum kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada Rabu.
Memorandum yang disampaikan itu adalah berkaitan dengan pengumuman darurat yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 Januari lalu.
Iklan
Iklan
Koordinator Sabah bagi gabungan itu, Razeef Rakimin berkata, pelaksanaan darurat ketika ini tiada keperluannya memandangkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat masih ringan.
"Banyak aktiviti masih berjalan terutama aktiviti ekonomi namun Parlimen tidak boleh bersidang dan sebagainya. Bagi kami, itu sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan kami menghantar memorandum serta diterima oleh pegawai di Istana Negeri Sabah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Memorandum terbabit menyebut pengisytiharan darurat itu bukan saja menjatuhkan imej negara di seluruh dunia malah media antarabangsa telah menjadikan bahan ejekan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan kerajaan Malaysia.
Hal ini perlu dihentikan serta merta kerana dibimbangi memberi kesan kepada peranan semak serta imbang kepada kuasa eksekutif pentadbiran negara dan mendedahkan kerajaan kepada salah guna kuasa eksekutif yang tidak terkawal.
Sehubungan itu, memorandum terbabit meminta supaya penarikan semula persetujuan pelaksanaan Ordinan Darurat dengan segera.