PENGENDALI Tottenham Hotspur, Jose Mourinho menyifatkan kekalahan 4-5 kepada Everton pada aksi Piala FA di Goodison Park pada awal pagi Khamis berpunca daripada beberapa kesilapan yang dilakukan oleh kesebelasan pemainnya.
Bagaimanapun, menurut Mourinho, dia tetap berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan kesebelasan The Lilywhites itu di sepanjang perlawanan berkenaan.
"Saya berpuas hati menyaksikan cara kami beraksi pada perlawanan ini menerusi peluang yang dicipta, gerakan menarik, jaringan gol yang kesemuanya menyerlahkan karekter pemain.
"Dalam bola sepak, kemenangan hanya akan dicapai jika anda tidak melakukan lebih banyak kesilapan berbanding peluang yang dicipta dan pada perlawanan ini kami menjaringkan empat gol tetapi ia masih belum mencukupi,” katanya.
Pada aksi awal pagi Khamis Spurs membuka jaringan menerusi Davidson Sanchez seawal minit ke-3.
Namun, Everton bangkit menerusi tiga gol dalam tujuh minit daripada Dominic Calver-Lewin pada minit ke-36, Richarlison (38) dan Gylfi Siguarasson yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-43 sebelum Erik Lamala merapatkan jurang pada minit ke-45.
Sanchez kemudiannya menjaringkan gol penyamaan Spurs pada minit ke-57 sebelum Richarlison menjaringkan gol keempat The Toffees pada minit ke-68.
Bintang Spurs, Harry Kane kemudiannya menyamakan kedudukan apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-83 bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Bagaimanapun, pemain Everton, Bernard muncul wira The Toffees apabila menjaringkan gol kelima pasukannya pada minit ke-97 masa tambahan bagi mengesahkan kemaraan ke suku akhir.
Dalam pada itu, Mourinho mengakui kekalahan berkenaan sememangnya pahit untuk diterima, apatah lagi setelah berjaya menjaringkan gol pembukaan perlawanan.
"Ya, ia memang menyakitkan bagi semua orang kerana kami telah lakukan dengan baik ketika mendahului 1-0 dan lima minit kemudian ia adalah kesilapan, dan gol buat pihak lawan,” katanya.
"Kami bangkit melawan tetapi kemudiannya melakukan lebih banyak kesilapan. Ia ibarat tikus dan kucing yang mana tikus itu adalah kesilapan kita dan kucing itu juga adalah kita yang cuba untuk mengimbangi keadaan,” katanya.