Masuk kampung jejak murid 'tercicir' PdPR, beri telefon percuma

Iklan
Zukri Suzita (tengah) bersama Ahmad Fadhli (kanan) menyampaikan sumbangan telefon pintar kepada Nur Hafizah di rumahnya di Kampung Bechah, Tendong, Pasir Mas.

PASIR MAS - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Talib 2, di sini mengambil inisiatif masuk kampung bagi menjejaki murid yang 'tercicir' dari mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Guru Besarnya, Zukri Suzita Yaso berkata, langkah tersebut dilakukan selepas melihat ramai murid-muridnya gagal mengikuti sesi yang berlangsung secara 'online' sebagaimana telah ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Kami terkejut apabila ramai murid yang kami jejaki kebanyakkannya tidak mempuyai telefon pintar untuk mengikuti pembelajaran secara online.

"Bukan itu sahaja ada dalam kalangan mereka yang terpaksa berkongsi telefon pintar dengan adik-beradik serta menunggu ibu bapa pulang dari kerja untuk belajar," katanya kepada pemberita pada Program Gajet Prihatin pada Khamis.

Iklan

Beliau sebelum itu bersama Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Ashaari masuk kampung dengan menunggang motosikal menyampaikan sumbangan telefon pintar kepada murid SK Othman Talib 2 yang terpilih.

Menurutnya, lebih menyedihkan lagi apabila ada dalam kalangan murid yang langsung tidak pernah mengikuti PdPR walaupun sesi persekolahan sudah bermula sejak sebulan lalu.

Iklan

Katanya, melihat kekangan yang dialami oleh para murid itu mereka sepakat menghulurkan sumbangan serta mencari dana membeli telefon pintar bagi memastikan anak didik yang disayangi itu tidak tercicir pembelajaran.

Zukri berkata, untuk peringkat awal sebanyak 15 telefon pintar berjaya dikumpulkan dan diserahkan kepada murid yang berpotensi dari keluarga miskin.

Zukri Suzita (dua dari kiri) bersama guru-guru SK Othman Talib 2 bermotosikal menjayakan Program Gajet Prihatin dengan menjejak murid tercicir PdPR.

"Insya-ALLAH kita akan memperbanyakkan lagi sumbangan pada masa akan datang. Ini kerana buat masa sekarang kita sukar untuk mendapatkan bekalan telefon pintar di pasaran kerana stok yang sangat terhad," katannya yang turut berterima kasih kepada Ahli Parlimen Pasir Mas yang turut menghulurkan sumbangan bagi menjayakan lagi program berkenaan.

Sementara itu murid Tahun Enam, Nur Hafizah Mizani,12, berkata, ketiadaan kemudahan telefon pintar menyebabkan dia langsung tidak dapat mengikuti sesi PdPR seperti mana rakan-rakan sekelas yang lain.

Katanya, dia bergantung sepenuhnya kepada telefon pintar milik ibunya, Nor Suhaila Jaafar,37, bagaimanapun ibunya terpaksa 'berkampung' di hospital untuk menjaga abang sulungnya yang menghidap penyakit barah tulang sejak dua tahun lalu.

"Jadi saya hanya mampu melihat tugasan yang diberikan oleh guru pada waktu malam sahaja selepas ayah saya pulang dari bekerja dan segala tugasan itu saya akan siapkan sebelum dihantar semula kepada guru utuk disemak," katanya.