LEGENDA Chelsea, John Terry memberi gambaran bahawa pemain tengah The Blues, Mason Mount bakal menjadi kapten bagi kelab itu dan England pada masa akan datang.
Menurut bekas kapten Chelsea itu, ia berdasarkan kepada potensi dan kriteria yang dimiliki Mount ketika ini yang memungkin dia diangkat menjadi kapten.
"Bagi saya, Mount 100 peratus kapten Chelsea pada masa depan. Sejujurnya dia pemain terbaik di kelab pada ketika ini. Prestasinya berada di tahap terbaik.
"Bukan hanya prestasinya tetapi kualiti kepimpinan di atas padang sewaktu perlawanan. Itu merupakan perkara penting kepada mana-mana pemain yang bakal dipilih sebagai kapten pasukan.
"Dia dilihat cukup bernafsu dan berusaha keras ke arah itu. Pada pandangan saya, dia akan menjadi kapten Chelsea dan England. Saya melihat potensi yang dimilikinya,” katanya.
Mount pada 24 Januari lalu memakai lilitan kapten ketika Chelsea berdepan Luton Town dalam saingan Piala FA dan merupakan permain termuda selepas Terry pada 2001.
Pemain berusia 22 tahun itu kini menjadi pemain utama bagi kelab dan negara dengan 13 penampilan bersama pasukan England sejak 2019.
Bagi Mount, menyarung lilitan kapten pada usia muda merupakan satu penghargaan di Stamford Bridge.
"Ia sesuatu yang luar biasa dan impian buat pemain muda. Ini pengalaman berharga dan berharap sekali lagi mampu memakai lilitan itu pada masa akan datang,” katanya.
Mount merupakan watak penting di bahagian tengah The Blues di bawah bekas pengendali, Frank Lampard sebelum dia dipecat.
Kehadiran pengurus baharu, Thomas Tuchel selepas itu menyaksikan Mount memanaskan bangku simpanan ketika menentang Wolves tetapi kembali menjadi pemain utama dalam tiga perlawanan terakhir.