SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan terdapat usaha untuk mengharamkan UMNO.
Ia susulan kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman yang mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menyiasat akaun rahsia UMNO.
"Kalau betul kenyataannya, nampaknya seperti ada pemimpin Bersatu nak UMNO diharamkan. Atas isu ada akaun tak betul sejak tahun 1988. Sejak Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) jadi Presiden UMNO lagi," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Tambah beliau, usaha itu dilihat akan menyulitkan pemimpin dari UMNO yang sedang kuat mempertahan Bersatu.
"Kawan-kawan dari UMNO yang sedang kuat mempertahankan Bersatu adalah sahabat yang wajib didokong. Atau hanya bersahabat waktu diperlukan? Bajet pun dah lulus. Manis pun dah habis...," katanya.
Dalam kenyataannya, Dr Muhammad Faiz menyifatkan pendedahan bahawa UMNO mempunyai akaun bank rahsia, tidak disahkan dan tidak rasmi yang aktif sejak 1988 sebagai pengkhianatan yang jelas terhadap perlembagaan parti dan ahlinya.
Katanya, jika terbukti akaun bank yang tidak diisytiharkan (dan sumbangan politik yang tidak diaudit) mempunyai berkaitan langsung dengan parti dan kepemimpinan UMNO, ia merupakan pelanggaran serius di bawah peraturan RoS.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hantaran di Facebooknya berkata, akaun bank rahsia yang dilaporkan adalah merujuk kepada akaun bank tahun 1988 ketika UMNO baru ditubuhkan.
"Berita semalam sebenarnya merujuk kepada akaun bank tahun 1988 masa UMNO baru ditubuhkan semasa aset-aset UMNO lama yang sengaja diharamkan dipindah kepada UMNO baru.
"Jadi, orang yang paling sesuai menjawab isu ini adalah presiden serta bendahari UMNO masa itu. Korang (anda) kenal siapa mereka?"katanya.