Polis Ipoh santuni keluarga mangsa lemas

Iklan
A Asmadi (kiri) bersama Meor Hezbullah ketika menyantuni ahli keluarga mangsa di Klebang Restu, Chemor pada Rabu.

IPOH - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menyantuni keluarga seorang lelaki dipercayai lemas yang jasadnya masih belum ditemui sejak dilaporkan hilang pada 14 Januari lepas.

Lawatan diketuai Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik itu disambut isteri mangsa, Khatijah Din, 59, di kediaman mereka di Klebang Restu, Chemor pada Rabu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, lawatan itu antara lain bagi mendapatkan informasi terkini terutama aspek kebajikan isteri mangsa yang tidak bekerja dan anak-anak mangsa yang masih belajar.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dalam skala kecil membabitkan anggota bomba dan rakan-rakan strategik.

Iklan

"Bagaimanapun tiada tanda positif mangsa ditemui setakat ini," katanya.

Barangan keperluan asas disampaikan bagi membantu keluarga mangsa meneruskan kelangsungan hidup.

Menurutnya, dalam lawatan itu, keluarga mangsa juga diberikan informasi mengenai proses undang-undang yang ada bagi mendapatkan wang simpanan serta harta yang terbeku berikutan ketiadaan surat mati.

Iklan

"Sebagai tanda prihatin, kita turut menyampaikan barangan keperluan asas bagi membantu keluarga ini meneruskan kelangsungan hidup kerana sejak ketiadaan mangsa, sumber utama pendapatan keluarga ini terjejas," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 7.30 petang itu, Ahmad Amin Ismail, 58, yang mahu pulang dari tempat kerja menunggang motosikal jenis Yamaha Ego S ketika hujan lebat terbabit dalam kemalangan di Lebuh Persiaran Klebang 11 dekat Chemor sebelum terjatuh ke dalam longkang.

Operasi mencari dan menyelamat yang sudah hampir sebulan belum menemui sebarang petunjuk terhadap kehilangan mangsa.