KOTA BHARU - Kerajaan negeri menganggarkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi membina jeti bot penambang di Kuala Besar di sini.
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Hussin berkata, pihaknya kini dalam proses membuat penilaian reka bentuk jeti yang sesuai untuk dibina di kawasan tersebut.
Menurutnya, jeti tersebut akan memudahkan operasi dan pengurusan lebih 30 bot penambang yang membawa penduduk ke kepulauan seberang, termasuklah ke pasar terapung di Pulau Suri.
"Saya mendapati penduduk berdepan kesukaran sebab tiada jeti dan kita telah buat keputusan untuk bina sebuah jeti bagi membantu keperluan mereka supaya aktiviti ekonomi dapat dijalankan sebaik mungkin selain memudahkan pergerakan mereka yang tinggal di kepulauan.
"Kita juga ada pasar terapung di pulau-pulau berdekatan maka jeti yang lebih sesuai amat penting bagi memudahkan pengunjung terutamanya pelancong luar menyeberangi sungai ini," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga akan menilai untuk membina beberapa kemudahan lain berdekatan dengan jeti itu bagi memastikan ia dapat menyokong pembinaan jeti baharu tersebut, termasuk tempat menunggu berbumbung.
Mengulas lanjut, Izani memaklumkan pihaknya juga turut memberikan bantuan kecemasan RM20,000 bagi membaiki 11 buah gerai di Dataran Jagung Kampung Tikat di sini yang berdepan kerosakan selepas digenangi air banjir hujung tahun lalu.
"Kita dalam perancangan membina lapan gerai dengan kos RM40,000 di kawasan Medan Ikan Bakar (MIB) bagi memudahkan perniagaan dan pengurusan ekonomi di kawasan ini.
"Selain itu, kita juga menyediakan peruntukan sebanyak RM1.103 juta untuk projek kesejahteraan rakyat di bawah peruntukan pembangunan kerajaan tempatan 2021 (Fasa 1) untuk Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandaraya Islam (MPKB-BRI)," katanya.