KUALA LUMPUR - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan penyusutan 3.4 peratus pada suku keempat 2020 dalam keadaan peningkatan ketara kes jangkitan Covid-19 sekali gus menjadikan prestasi keseluruhan tahun kepada -5.6 peratus berikutan perintah sekatan dan penutupan sempadan di peringkat global.
Sektor pembuatan merupakan penyumbang utama ekonomi pada suku keempat 2020 apabila mencatatkan pertumbuhan positif manakala perkhidmatan, perladangan dan perlombongan masing-masing mengalami penguncupan.
Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kali terakhir KDNK tahunan negara mencatatkan kemerosotan adalah pada 2009 dengan -1.5 peratus dan prestasi tahunan 2020 merupakan penyusutan kedua terbesar selepas 1998 pada -7.4 peratus akibat Krisis Kewangan Asia.
Bercakap pada sidang media pengumuman prestasi KDNK suku keempat 2020 pada Khamis, beliau berkata pertumbuhan lebih perlahan pada suku berkenaan disebabkan terutama oleh sekatan pergerakan yang lebih ketat selain gangguan bekalan komoditi.
"Bagaimanapun ia diimbangi oleh pertumbuhan berterusan dari segi permintaan luaran,” katanya.
Pertumbuhan ekonomi pada 2020 adalah sedikit lebih rendah berbanding dengan unjuran awal Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu di antara -3.5 peratus dengan -5.5 peratus.
Malaysia mencatatkan pertumbuhan 0.7 peratus pada suku pertama 2020 sebelum merosot kepada -17.1 peratus pada suku kedua dan menjadi lebih baik kepada -2.7 peratus pada suku ketiga.
Bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun merekodkan pertumbuhan negatif 0.3 peratus pada suku keempat berbanding dengan 18.2 peratus pada suku ketiga tahun yang sama.
Mengikut bulanan, KDNK negara bertambah baik kepada -1.7 peratus pada Disember selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara daerah dan negeri ditarik balik pada Oktober dan November.
Mohd Uzir berkata pada 2020, pelbagai fasa PKP telah dilaksanakan dalam negara mulai 18 Mac, 2020 sehingga kini untuk mengawal penularan wabak Covid-19.
"Justeru, prestasi aktiviti ekonomi susulan daripada faktor penawaran dan permintaan domestik serta pengaruh sektor luaran telah menyebabkan ekonomi Malaysia merekodkan pertumbuhan negatif bagi tiga suku tahun berturut-turut pada 2020,” katanya.
Beliau berkata Malaysia pernah mengalami pertumbuhan negatif berterusan sebanyak lima suku tahun sebelum kembali mencatatkan pertumbuhan positif semasa Krisis Kewangan Asia pada 1998.
KDNK Malaysia pada suku keempat 2020 menyusut 3.4 peratus dipengaruhi oleh penguncupan dalam semua sektor ekonomi kecuali sektor pembuatan yang mencatatkan pertumbuhan 3.0 peratus, katanya.
Beliau berkata sektor perkhidmatan merupakan penyumbang utama kepada aktiviti ekonomi merosot 4.9 peratus berbanding dengan -4.0 peratus pada suku ketiga.
Ia disebabkan oleh penyusutan subsektor berkaitan industri pelancongan akibat sekatan perjalanan yang menyumbang kepada penurunan ketibaan pelancong asing ke Malaysia serta kekangan pergerakan pelancong domestik dalam negara, katanya.
Ketua Perangkawan berkata antara subsektor paling teruk terjejas adalah makanan dan minuman serta penginapan; di samping pengangkutan dan penyimpanan yang mencatatkan penyusutan dua angka.
Imbangan akaun semasa Malaysia terus mencatatkan lebihan dengan jumlah bernilai RM19.0 bilion pada suku akhir 2020, dipacu oleh eksport bersih barangan yang lebih tinggi pada 12.4 peratus susulan permintaan luaran yang lebih kukuh sekali gus eksport merekodkan pertumbuhan lebih positif berbanding dengan import.
Beliau berkata ini secara tidak langsung mendorong dagangan dalam ekonomi negara mencatatkan lebihan RM184.8 bilion pada 2020 dengan jumlah dagangan luar negara Malaysia mencecah hampir RM2 trilion.
Dari segi permintaan, semua komponen perbelanjaan merekodkan pertumbuhan negatif kecuali perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan yang masih mengekalkan pertumbuhan positif pada suku tahun ini, katanya.
Beliau berkata bagaimanapun perbelanjaan pengunaan akhir swasta dengan sumbangan 58.0 peratus kepada KDNK merosot 3.4 peratus berbanding dengan -2.1 peratus pada suku ketiga, ekoran dipengaruhi oleh penurunan bagi perbelanjaan restoran dan hotel; perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah. - Bernama