'Bapa nuklear Iran' dibunuh dengan senjata automatik satu tan

Iklan
Lokasi kejadian di bandar Absard, timur Teheran ketika serangan yang membunuh Fakhrizadeh (gambar kecil) pada November lalu. - Foto: Agensi, gambar kecil: Mohsen Fakhrizadeh

TEL AVIV - Saintis nuklear Iran, Mohsen Fakhrizadeh dibunuh dengan senjata automatik satu tan yang diseludup masuk ke Teheran oleh agensi risikan Israel, Mossad, menurut laporan didedahkan The Jewish Chronicle pada Rabu.

Pendedahan akhbar mingguan yang memetik sumber risikan terbabit melaporkan pasukan terdiri daripada lebih 20 ejen termasuk rakyat tempatan dan Israel terlibat operasi sulit di timur Teheran itu pada November 2020 selepas melakukan pengintipan selama lapan bulan ke atas 'bapa program nuklear Iran' itu.

Iklan
Iklan

Akhbar yang berpusat di London itu mendedahkan senjata automatik itu dipasang pada trak pikap Nissan dan dikendalikan secara jarak jauh oleh ejen Mossad.

"Senjata itu sangat berat kerana turut dilengkapi bom yang memusnahkan bukti selepas insiden pembunuhan tersebut.

"Serangan itu dilancarkan Israel tanpa penglibatan sekutu kuat mereka, Amerika Syarikat (AS). Namun, pegawai di Washington sudah dimaklumkan terlebih dahulu," lapor akhbar itu lagi.

Iklan

Jurucakap rejim Tel Aviv yang memberi kenyataan balas terhadap laporan itu bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut dan hanya menyatakan pendirian mereka sama seperti sebelum ini.

Sejak beberapa tahun lalu, Fakhrizadeh, 59, dinamakan sebagai saintis yang bertanggungjawab mengendalikan program rahsia bom nuklear Iran oleh perkhidmatan rahsia Israel dan Barat. - Agensi

Iklan