Cari 'sugar daddy' melalui 'Sugarbook'

Iklan
Muhammad Amir Asyraf

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) memandang serius terhadap peningkatan statistik penggunaan aplikasi media sosial tidak bermoral dalam kalangan mahasiswa yang semakin membimbangkan.

Presiden MPPK, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, berdasarkan laporan, seramai 12,705 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di Lembah Klang berdaftar dengan aplikasi 'Sugarbook' untuk mencari 'sugar daddy'.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peningkatan jumlah pelajar IPT yang mendaftar dalam aplikasi itu amat membimbangkan kerana menggambarkan keruntuhan moral, malah pada masa sama menunjukkan kegawatan kewangan golongan pelajar semakin meruncing pada masa kini.

"Berdasarkan rekod, selepas setahun kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kini PKP semula terdapat peningkatan pendaftaran pengguna baharu aplikasi ini.

Iklan

"Pendaftaran pengguna baharu meningkat lebih 40 peratus dan punca utamanya adalah daripada desakan hidup sewaktu wabak Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Muhammad Amir Asyraf berkata, tidak ada mana-mana pihak yang perlu dipersalahkan sebaliknya masing-masing perlu memandang hal ini secara serius.

Iklan

"Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak tetapi ingin membuka mata semua pihak berwajib agar dapat memikirkan solusi berkesan untuk mengurangkan kegiatan sebegini dalam kalangan mahasiswa.

"Saya juga mengharapkan agar semua pihak memandang serius dengan laporan sebegini kerana jika ia dipandang ringan, maka keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan pelajar akan menjadi semakin membimbangkan," katanya.

Pada masa sama beliau turut menasihatkan mana-mana mahasiswa yang menghadapi masalah daripada segi kewangan supaya berhubung terus dengan pihak IPT masing-masing.

"Saya percaya setiap IPT di negara kita akan terus membantu mahasiswa yang memerlukan," katanya.

Pada Rabu, media melaporkan bahawa Malaysia telah dikategorikan pada kedudukan ketiga tertinggi Asia bagi jumlah 'sugar daddy' melalui aplikasi 'Sugarbook', sebuah aplikasi tidak bermoral yang menyediakan platform bagi mencari wanita-wanita untuk dijadikan perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai 'sugar baby'.