ALOR SETAR - Seorang pensyarah wanita kerugian RM206,470 setelah diperdaya 'Harris' yang dikenali dalam tempoh tiga bulan menerusi Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 49 tahun yang berasal dari Bagan Datuk, Perak itu berhubung dengan individu dikenali sebagai Harris dari United Kingdom melalui platform itu sejak November 2020 hingga Januari 2021.
Katanya, mangsa yang belum berkahwin diperdaya sepanjang tempoh perkenalan itu dengan kata-kata manis termasuk dijanjikan dengan beberapa hadiah seperti beg tangan, kasut, telefon bimbit dan pelbagai jenis barangan menggunakan perkhidmatan kurier.
"Pada 17 November tahun lepas, mangsa telah menerima panggilan daripada wakil ejen pengeposan barangan tersebut dan memberitahu bahawa barangan dikirim telah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Kemudian, mangsa diminta mengesahkan diri sebagai penerima dan ejen yang menghubunginya itu meminta dia membuat pelbagai bayaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Elias berkata, sejak itu, mangsa diminta ejen berkenaan membuat bayaran kos pengangkutan, cukai, caj kastam serta caj penukaran wang bagi mendapatkan barangan kiriman tersebut.
"Selepas itu, mangsa telah membuat bayaran secara berperingkat sebanyak 54 kali pindahan wang secara dalam talian berjumlah RM206,470 ke 16 akaun bank yang berbeza,” katanya.
Menurutnya, mangsa telah membuat laporan polis berhubung perkara itu di Kulim pada Rabu dan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu).
Justeru, beliau berkata, pihaknya menasihatkan orang awam supaya tidak mempercayai penipuan cinta atau 'love scam' dalam talian yang merupakan satu bentuk jenayah komersil.