Lagi berita gembira buat penggiat sukan

Iklan
REEZAL MERICAN

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan beberapa sektor sukan dan rekreasi beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada Jumaat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkhabaran itu merupakan satu lagi berita gembira kepada penggiat sektor sukan dan industri sukan selepas kelulusan fasa permulaan yang membenarkan latihan berpusat pasukan Liga Malaysia (Liga-M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) bermula Isnin ini.

Iklan
Iklan

"Saya bagi pihak KBS menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang cukup memahami situasi semasa.

"Saya turut menghargai komitmen Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pasukan MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang amat positif dengan permohonan KBS," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan kegiatan sukan dan kecergasan di kemudahan komersial termasuk gimnasium, padang golf dan litar permotoran dibenarkan beroperasi bermula Jumaat.

Beliau memberitahu, kebenaran itu diberikan susulan permohonan KBS untuk membenarkan beberapa lagi aktiviti sukan, khususnya yang bersifat individu serta tanpa sentuhan.

Iklan

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, tindakan KBS memperkenalkan pasukan pemantauan dan kawalan melalui sukarelawan Rakan Muda Sports Bubble Volunteers turut meyakinkan kerajaan untuk membuka sektor dan industri sukan berkenaan.

"KBS akan meneruskan usaha bagi fasa seterusnya bagi membolehkan ekosistem sukan dan rekreasi dalam beroperasi berlandaskan SOP (prosedur operasi standard) ditetapk MKN.

"Selaras dengan pengumuman ini, KBS sudah mengemas kini dan menambah baik SOP Sektor Sukan dan Rekreasi sedia ada untuk panduan dan pematuhan semua pihak terbabit," jelasnya.