SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Bekas Timbalan Menteri Besar Selangor, Datuk Abu Sujak Mahmud, 82, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di sini pada petang Khamis.
Perkara ini disahkan oleh bekas pegawai khasnya, Mohd Fathir Amin, yang memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 5.30 petang.
Menurutnya, Allahyarham meninggal ketika berehat duduk di kerusinya sementara menunggu masuknya waktu Asar.
"Arwah meninggal sebab sakit tua, dia tak ada sakit apa-apa pun.
"Dia meninggal dalam rehat. Sementara menunggu masuk waktu Asar, dia duduk di kerusi dan tak lama kemudian meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Fathir juga memaklumkan bahawa Allahyarham meninggalkan seorang isteri,Wan Norseha Wan Nordin berumur kira-kira 70 atau 71 tahun, sembilan orang anak dan sekitar 26 orang cucu.
Sementara itu, anak saudara Allahyarham, Musyarraf Mazlan, 31, memaklumkan jenazah akan dimandikan, dikafan dan disolatkan di Surau Raudah Al Muttaqin, Seksyen 4 di sini.
Kemudian, jenazah akan dibawa ke Masjid Dato' Dagang, Kampung Jawa, Klang untuk solat jenazah kali kedua dan dikebumikan di sana.
Di samping itu, Musyarraf sempat berkongsi cerita bahawa Allahyarham mengadu sakit belakang kepada keluarganya pada tengah hari Khamis.
Ujarnya, Allahyarham terus dibawa oleh keluarganya ke hospital untuk pemeriksaan, tapi setelah itu mereka pulang ke rumah.
Di samping itu, Musyarraf turut berkongsi antara mesej terakhir Allahyarham dalam kumpulan WhatsApp, yang mana Allahyarham menghantar senarai masjid tertua di seluruh negara.
"Pagi tadi dalam WhatsApp, dia sempat menghantar mesej mengatakan bahawa Masjid Dato Dagang merupakan masjid tertua di Selangor.
"Kami hairan kenapa dia hantar mesej begitu, tak sangka itu mesej terakhir yang mereka terima daripada arwah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Abu Sujak dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada tahun 1989 hingga 1995 dan pernah menjadi Datuk Bandar Shah Alam yang pertama pada tahun 2000 hingga 2001.
Beliau juga memperkenalkan konsep Shah Alam sebagai Bandaraya Melayu, yang mana ia merupakan bandar pertama di dunia yang dibentuk tanpa pusat hiburan seperti panggung wayang, pusat karaoke dan sebagainya.