MELAKA United Football Club (MUFC) mendapatkan khidmat dua pemain import baharu bagi memperkuatkan lagi pasukan itu untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang dijangka bermula 5 Mac depan.
Dua pemain berkenaan ialah penyerang kelahiran Brazil, Alex dos Santos Goncalves, serta pemain kebangsaan Filipina, Manuel Gelito Ott yang mengisi kuota pemain import ASEAN.
Majlis menandatangani pemain-pemain disaksikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dalam satu majlis ringkas di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Khamis.
Sulaiman yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) berkata, pengalaman yang dimiliki kedua-dua pemain tersebut akan membantu memantapkan lagi persediaan Melaka United,menghadapi saingan Liga-M musim ini.
"Kita percaya kehadiran tonggak import baharu dan serta pemain import yang dikekalkan, akan dapat memacu kecemerlangan bola sepak Melaka sepanjang musim ini.
"Saya juga yakin kesemua pemain dibawa masuk dan dikekalkan merupakan pilihan yang tepat, setelah dikaji dari pelbagai sudut oleh pihak pengurusan,” katanya.
Alex Goncalves, 30, berhijrah dari kelab Liga 1 Indonesia, Persikabo 1973 dan sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa kelab di Brazil, Romania, Turki dan Indonesia.
Sementara itu, pemain tengah Manuel Gelito Ott atau lebih dikenali sebagai Manny Ott sebelum ini beraksi bersama kelab Filipina Ceres Negros.
Manny, 28, yang mewakili negaranya sejak 2010, merupakan pemain berdarah kacukan Jerman dan Filipina, selain pernah beraksi bersama kelab Liga 1 Thai Ratchaburi Mitr Phol.
Dalam pada itu, MUFC turut mengumumkan pelanjutan kontrak dua pemain import musim lalu - pemain kebangsaan Haiti, Sony Norde, dan pemain pertahanan dari Korea Selatan, Jang Suk-Won.
Turut menandatangani kontrak hari ini ialah penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat yang akan menyarung jersi MUFC sehingga 2022, manakala pemain pertahanan, Razman Roslan menandatangani kontrak selama semusim.
Difahamkan, MUFC juga bakal mendapatkan khidmat pemain import baharu dari Montenegro Stefan Nikolic yang sedang menjalani proses kuarantin di ibu negara ketika ini. - Bernama