Salah siapa rasuah jadi budaya Malaysia

Iklan
Malaysia ‘kehilangan’ RM47 bilion atau empat peratus dari KDNK akibat rasuah pada tahun 2017. Gambar kecil: Ivlynn

SISTEM politik kolot dan tidak telus. Sejarah dunia banyak menyaksikan negara yang mengamalkan sistem politik tersembunyi tidak telus dalam pengisytiharan kedudukan kewangan parti politik dan pentadbiran sebelum, semasa dan selepas pilihan raya hanya memundurkan dan memenjarakan rakyat.

Jika tidak diubah, budaya rasuah terus menular dan rakyat yang menjadi mangsanya. Yang mendapat labanya hanyalah mereka yang tamak haloba demi kepentingan peribadi.

Iklan
Iklan

Penyumbang paling utama gejala rasuah ialah keinginan terhadap kontrak projek-projek kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang bernilai jutaan malahan berbilion ringgit.

Keparahan budaya rasuah yang dialami Malaysia kini berpunca daripada tiga sebab utama.

Iklan

Pertama, ketiadaan Akta Dana Politik (Political Funding Act). Sumbangan politik sememangnya dibenarkan di Malaysia.

Tanpa batasan jelas, parti politik atau mana-mana pihak tidak berkewajiban untuk mendedahkan sumber pendanaan sekali gus menjadikan sumbangan politik satu subjek yang kabur tetapi masih sah di sisi undang-undang.

Iklan

Semua derma politik dibenarkan untuk disalur ke akaun individu dan parti politik.

Penyumbang asing tanpa nama boleh meminta untuk tidak didedahkan identiti mereka.

Parti politik secara amnya dibiayai oleh sumbangan daripada ahli parti dan penyokong individu (melalui yuran keahlian atau sumbangan terus, organisasi dan entiti yang berkongsi pandangan politik (misalnya melalui yuran ahli bersekutu) atau yang mendapat manfaat daripada rencana politik mereka (misalnya melalui sumbangan korporat tempatan/asing), pemilikan perniagaan (parti politik juga wujud sebagai entiti perniagaan dengan modal dan pengaruh besar) dan sumbangan orang ramai (melalui tabung atau kutipan dana dari masyarakat umum).

Memang lumrah manusia akan lebih memihak kepada penyokong sendiri atau penderma kempen pilihan raya dalam proses pemberian kontrak.

Ada juga yang terang-terang memberikan projek kepada ahli-ahli parti sebagai ganjaran atas sokongan dan kesetiaan kepada pemimpin-pemimpin parti.

Seterusnya untung yang diperoleh sama ada akan disalurkan balik kepada parti untuk digunakan sebagai duit kempen pilihan raya seterusnya ataupun dibahagikan sesama pemimpin sendiri.

Sudah tiba masanya corak pemikiran dan budaya sebegini dihentikan. Sehebat manapun kempen membanteras rasuah, tiada impaknya selagi tiada kesanggupan politik untuk menggubal Akta Sumbangan Politik.

Kedua, kurangnya keterbukaan dan ketelusan dalam pemberian kontrak kerajaan.

Secara asasnya wakil-wakil rakyat dan rakyat sendiri harus faham bahawa duit untuk melaksanakan projek-projek kerajaan adalah untuk kebajikan rakyat, datangnya dari rakyat, bukannya milik parti mahupun milik mana-mana pemimpin!

Kepimpinan saksama dan berintegriti terserlah jika pemimpin dan pemerintah mempunyai sikap akauntabiliti, integriti dan amanah serta mendahulukan rakyat dan bukannya parti.

Wujudkan mekanisme

Sering kali kita mendengar berita bahawa projek-projek kerajaan yang bernilai tinggi akhirnya diberikan kepada syarikat yang berkaitan dengan parti atau ahli politik.

Keadaan ini sangat membingungkan dan merupakan barah yang harus dipandang serius kerana perlakuan sebegini ibarat harapkan pegar, pegar makan padi.

Satu mekanisme harus diwujudkan agar syarikat milik atau berkaitan parti politik dihadkan penglibatannya dalam pembidaan projek-projek kerajaan.

Walaupun ada usaha untuk wakil-wakil rakyat dan pemimpin mengisytiharkan pendapatan bulanan dan aset mereka, apalah gunanya jika proses pemberian kontrak dan kriteria pemilihan masih kabur dan tidak telus?

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 terbitan Transparency International pada 28 Januari 2021 mendedahkan bahawa rasuah yang berterusan merosakkan sistem penjagaan kesihatan dan menyumbang kepada kemunduran demokrasi di saat pandemik Covid-19.

Menurut laporan tersebut, negara-negara dengan indeks cemerlang cenderung untuk melabur lebih banyak dalam sistem kesihatan serta lebih berkemampuan untuk memberikan liputan kesihatan sejagat dan mengelak daripada melanggar norma dan institusi demokrasi atau kedaulatan undang-undang.

"Covid-19 bukan hanya krisis kesihatan dan ekonomi. Ia adalah krisis rasuah yang gagal diuruskan oleh segelintir pemimpin,” kata Delia Ferreira Rubio, Pengerusi Transparency International.

"Tahun lalu merupakan ujian kepada ramai pemerintah negara. Pemerintah di negara-negara dengan kadar rasuah lebih tinggi didapati kurang mampu menghadapi ujian tersebut. Mereka yang berada di puncak CPI pula harus memainkan peranan mereka dalam menghapuskan rasuah di dalam dan luar negara,” tambah beliau.

Untuk mengurangkan rasuah, Transparency International mengesyorkan agar semua pemerintah memperkukuh institusi pengawasan demi memastikan dana kerajaan yang dimiliki rakyat sampai kepada kelompok paling memerlukan. Kedua, pastikan pemberian kontrak secara terbuka dan telus untuk menghindari dari kesalahan, mengenal pasti konflik kepentingan dan memastikan harga adil.

Ketiga, dalam proses rasuah, ada pemberi dan ada penerimanya.

Demi mengurangkan dan membanteras rasuah, setiap rakyat baik yang miskin atau berada harus bertekad untuk tidak menjadi pemberi mahupun penerima rasuah.

Tanggungjawab membanteras rasuah bukan saja terletak atas bahu Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Apabila rasuah mencapai tahap parah, ia harus ditangani setiap lapisan rakyat.

Kos rasuah dari segi pembangunan ekonomi, politik dan sosial semakin ketara.

Anggaran Bank Dunia menunjukkan bahawa kos rasuah bersamaan dengan lebih daripada lima peratus KDNK global atau AS$2.6 trilion (RM10.55 trilion), dengan lebih daripada AS$1 trilion dibayar secara rasuah setiap tahun.

Laporan Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah 2018 kepada Negara-Negara (2018 ACFE) mendedahkan bahawa lima peratus daripada pendapatan organisasi hilang akibat penipuan sementara setiap negara kehilangan sekitar 4 peratus dari KDNK mereka akibat penipuan.

Pada tahun 2017, Malaysia ‘kehilangan’ sebanyak RM47 bilion atau empat peratus dari KDNK akibat rasuah. Nilai itu hampir dua kali ganda jumlah perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan pada tahun yang sama.

Laporan Global Economic Crime and Fraud Survey 2018 Malaysia pula menunjukkan bahawa 41 peratus dari sampel syarikat Malaysia mengalami peningkatan jenayah ekonomi dalam tempoh dua tahun sebelumnya.

Menurut laporan Focus Malaysia, berdasarkan aduan diterima SPRM antara 2013 dan 2018, penjawat awam merangkumi 46.3 peratus daripada mereka ditangkap kerana rasuah. Kesalahan melibatkan perolehan adalah sekitar 42.8 peratus mendahului senarai sektor terdedah kepada rasuah.

Bank Dunia menganggarkan berlaku 20 hingga 30 peratus ketirisan daripada nilai kontrak kerajaan. Anggaran itu sepadan dengan laporan Jabatan Ketua Audit Negara yang menyatakan sehingga 30 peratus nilai projek awam Malaysia tertiris akibat salah urus dan rasuah.

Bayangkan penjimatan yang boleh dinikmati kerajaan dan negara jika kos barang dan perkhidmatan dibayar kepada pembekal dan vendor berkurangan sebanyak 30 peratus!

Prosedur perolehan memerlukan kawalan berkesan untuk mencapai ketelusan, kebertanggungjawaban dan mengelakkan risiko penipuan.

Pemantauan terhadap proses dan prosedur perolehan memerlukan perhatian tinggi untuk memastikan agar proses tersebut tidak mencipta ruang untuk penipuan dan rasuah. Pemantauan berterusan adalah penting demi memastikan pematuhan, integriti dan standard etika yang tinggi.

Marilah kita mengorak langkah dalam memacu Malaysia agar menjadi negara berintegriti tinggi. Langkah ini haruslah bermula dari kita sendiri. Jangan beri dan jangan terima rasuah. Hentikanlah!

* Ivlynn Yap merupakan Penaung dan Penasihat Utama Krisis Komunikasi, Citrine One, sebuah syarikat penasihat komunikasi tempatan yang mempunyai rakan syarikat di lapan buah negara di Asia Pasifik.