Hukuman lebih tegas terhadap pesalah rasuah

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Bazlan Abdul Rahman

KUALA TERENGGANU - Penguatkuasaan dan hukuman terhadap pesalah rasuah perlu dipertingkatkan bagi membendung masalah itu daripada terus menular dalam kalangan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, masalah itu tidak akan berkesudahan melainkan hukuman dan penguatkuasaan lebih tegas dikenakan sehingga menimbulkan kegerunan masyarakat terhadap rasuah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rasuah jika tidak dibendung boleh menghancurkan sebuah negara selain menjejaskan imej negara di mata dunia.

"Jika ingin menjadi negara maju, kita perlu hapuskan gejala rasuah.

Iklan

"Kita harap penguatkuasaan ini dapat dijalankan sebaik mungkin dengan lebih tegas terhadap pesalah rasuah.

"Selain itu hukuman sedia ada mungkin perlu ditambah dan diperketatkan lagi supaya ia benar-benar membuatkan rakyat takut untuk terlibat dengan rasuah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai usaha untuk membendung gejala rasuah dalam negara ini.

Iklan

Pada 16 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub melancarkan gerakan yang dinamakan sebagai Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras gejala rasuah dan membina semula negara.

Ia merupakan satu gerakan reformasi moral daripada rakyat untuk rakyat dan negara tanpa sebarang agenda politik.

Bazlan turut memuji usaha yang digerakkan oleh Sinar Harian dan mengharapkan lebih banyak syarikat korporat dan agensi media yang turut sama menggembleng usaha dalam memerangi gejala rasuah.