Ditahan selepas 13 jam larikan diri

Iklan
Anggota polis trafik mengalami cedera luka ringan selepas dirempuh sebuah motosikal ketika melakukan tugas Ops Motosikal di Kilometer 1 Jalan Lumatai, Beaufort. Gambar kanan: Motosikal yang dinaiki suspek bersama teman wanitanya turut dirampas polis.

BEAUFORT - Selepas 13 jam melarikan diri sehingga sanggup tinggalkan teman wanita dalam satu operasi jalan raya, seorang lelaki akhirnya berjaya ditahan polis di Jalan Kompleks Sukan Beaufort pada Khamis.

Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.05 malam selepas turut bertindak merempuh seorang anggota polis trafik ketika sekatan jalan dilakukan di Kilometer 1, Jalan Lumatai, Sipitang-Beaufort.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kejadian awal berlaku pada jam 7.50 pagi ketika sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort sedang menjalankan tugas Ops Motosikal di lokasi terbabit.

"Sebuah motosikal jenis Modenas Dinamik yang ditunggang seorang lelaki bersama pembonceng wanita datang dari arah jambatan baharu Kampung Lumatai diarah berhenti untuk pemeriksaan.

Iklan

"Namun penunggang terbabit tidak mengendahkannya malah memecut laju motosikal sehingga melanggar anggota polis yang berada di tengah jalan dan menyebabkan anggota itu jatuh terlentang di atas jalan raya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Azmir berkata, akibat kejadian itu kedua-dua penunggang dan pembonceng turut terjatuh bersama motosikal, namun lelaki terbabit berjaya melarikan diri ke kawasan semak di tepi jalan lalu menghilangkan diri.

Iklan

"Akibat kejadian itu juga, anggota polis terbabit turut mengalami kecederaan luka di bahagian tangan serta sakit di bahagian belakang, pinggul dan kaki sehingga terpaksa dirawat sebagai pesakit luar," katanya.

Susulan daripada kejadian itu, Azmir berkata, usaha mengesan suspek segera dilakukan manakala pembonceng wanita berusia 21 tahun terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut.

"Akhirnya suspek berjaya ditahan dan hasil siasatan, suspek mengaku adalah penunggang motosikal itu yang cuba ditahan bersama teman wanitanya dalam kejadian di sekatan jalan raya terbabit.

"Siasatan lanjut didapati suspek dipercayai tidak memiliki lesen dan turut mempunyai rekod jenayah lampau iaitu kes dadah serta curi kenderaan," katanya.

Bagaimanapun, Azmir berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dengan melanggar anggota polis yang menjalankan tugas.