KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 apabila bekalannya sampai di Malaysia hujung bulan ini.
Perkara itu disahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.
"Ya saya sahkan PM adalah orang pertama disuntik vaksin Pfizer sebab nak beri keyakinan kepada orang ramai bahawa vaksin selamat diguna pakai,” katanya dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV pada malam Khamis.
Pada 4 Februari lalu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini, dengan kerajaan menyasarkan 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma dalam tiga fasa.
Fasa pertama dari Februari hingga April adalah untuk sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam memerangi wabak itu, fasa kedua dari April-Ogos adalah bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi selain golongan orang kurang upaya (OKU).
Fasa ketiga pula adalah bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan.
Menjawab dakwaan kononnya Malaysia menerima vaksin Covid-19 agak lewat berbanding negara maju lain serta negara jiran, Khairy menjelaskan ini kerana Malaysia lebih fokus kepada perancangan program imunisasi vaksinasi yang lebih cekap dan berkesan untuk dijalankan sepanjang tahun sebaik sahaja vaksin diterima akhir bulan ini.
"Kita tidaklah lambat sangat seperti Australia, Korea Selatan dan Jepun yang masih mengkaji (vaksin yang sesuai). Saya suka mempercepatkan proses pembelian dan penghantaran dan selama ini mengikut perjanjian termeterai, kita akan terima pada Februari," tambah beliau.
Khairy berkata Indonesia mendapat vaksin Sinovac awal kerana negara itu merupakan tempat ujian manakala Singapura membuat pelaburan dengan pengeluar vaksin Pfizer-BioNTech.
Disebabkan itu katanya, kedua-dua negara berkenaan mendapat keutamaan dari pengeluar.
"Saya rasa Malaysia tidaklah lewat sangat kerana kita tepati perjanjian. Apabila kita menerimanya (vaksin), kita akan dapat buat program vaksinasi. Tidak guna ada vaksin yang banyak tetapi tidak dapat membuat suntikan berkesan," katanya. -Bernama