SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mengingatkan pemimpin-pemimpin parti lain agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa bukti kukuh kononnya UMNO mempunyai akaun sulit atau rahsia.
Menerusi ciapan di Twitter beliau berkata, pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau parti lain tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang bersifat tuduhan.
"Ia tidak membawa sebarang kebaikan. Lebih 20 tahun saya sebagai ahli MT (Majlis Tertinggi) UMNO dan UMNO tidak pernah buat keputusan membuka akaun rahsia/sulit, wallahhualam," ciapnya pada Jumaat.
Media pada Rabu melaporkan UMNO mempunyai akaun rahsia yang tidak diaudit bagi menerima sumbangan politik dan perkara itu didedahkan ketika pihak pendakwaan menyanggah dakwaan bahawa wang tunai RM114.16 juta yang dituntut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO dalam saman pelucutan hak berkaitan 1MDB terhadap Obyu Holdings adalah milik parti itu.
Dalam hujah bertulis Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin, pihak pendakwa mendakwa ia kerana sebilangan pemimpin UMNO sendiri menafikan mereka tahu mengenai dana tersebut.
Susulan itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, pendedahan UMNO mempunyai akaun bank rahsia, tidak disahkan dan tidak rasmi yang aktif sejak 1988 disifatkan sebagai pengkhianatan yang jelas terhadap perlembagaan parti dan ahlinya.
Katanya, akaun bank yang tidak diisytiharkan (dan sumbangan politik yang tidak diaudit) jika terbukti berkaitan langsung dengan parti dan kepemimpinan mereka, ia juga merupakan pelanggaran serius di bawah peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).