Gerik jadi lokasi panas kegiatan tonto

Iklan
Zulkifli (tengah) menunjukkan kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger digunakan tonto bagi membantu aktiviti penyeludupan daun ketum pada Rabu lepas.

GERIK - Sekatan Jalan Raya (SJR) di daerah Gerik dikesan menjadi lokasi panas kegiatan tonto bagi aktiviti penyeludupan terutamanya daun ketum sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, kumpulan itu sering berada di sekitar kawasan sekatan untuk mengawasi gerak-geri pihak berkuasa bagi memudahkan pergerakan kenderaan yang membawa barangan seludup.

Iklan
Iklan

"Sindiket ini telah lama menjadikan Gerik sebagai laluan penyeludupan bukan hanya daun ketum, tetapi kes-kes penyeludupan yang lain.

"Tugas mereka memberi maklumat mengenai keadaan di SJR untuk memastikan aktiviti penyeludupan haram yang dijalankan tidak diganggu pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, perubahan modus operandi digunakan sindiket penyeludupan antara faktor polis sukar mengesan pergerakan dan melakukan sebarang tangkapan terhadap tonto.

"Daripada risikan yang kita jalankan, sindiket penyeludupan ini menggunakan khidmat tonto yang berbeza-beza dengan kadar upah sehingga RM500 seorang bagi satu perjalanan.

Iklan

"Pada masa tertentu mereka akan berada hampir dengan SJR untuk memerhatikan polis, namun selepas mendapati kenderaan-kenderaan itu ditahan, mereka akan melarikan diri jauh dari sekatan, keadaan itu menyebabkan tonto-tonto ini agak sukar dikesan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, kegiatan tonto itu berjaya dibongkar selepas tertangkapnya dua lelaki tempatan dalam satu kejadian kejar di Kilometer 36 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Banding sekitar jam 7 malam pada Rabu lepas.

Katanya, tangkapan membabitkan lelaki berusia 35 dan 43 tahun itu dibuat hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori membawa muatan empat tan daun ketum dipercayai untuk diseludup ke Kelantan dalam SJR di Kilometer 9 JRTB Gerik-Jeli berdekatan Sungai Lebey.

"Hasil maklumat diberikan pemandu itu, anggota kita telah bertindak mengejar tonto terlibat sejauh hampir 30 kilometer.

"Tangkapan berjaya dibuat selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dinaiki mereka terbabas dan siasatan lanjut menunjukkan memang ada penglibatan mereka dalam kes ini sebagai tonto," katanya.

Tambah Zulkifli, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua lelaki beralamat dari Kelantan itu mempunyai rekod lampau dalam jenayah penyeludupan daun ketum.

Katanya, kedua-dua mereka dan pemandu lori berusia 31 tahun ditahan reman selama empat hari sehingga 14 Februari ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Daripada soal siasat dijalankan, bekalan daun ketum dianggarkan bernilai RM120,000 yang diperoleh dari Kedah itu akan dihantar ke sebuah daerah di Kelantan bagi tujuan pasaran tempatan di sana.

"Selain menggunakan khidmat tonto, sindiket ini juga merancang menukar pemandu lori sebelum masuk ke sekatan di Kelantan dan menggunakan nombor pendaftaran palsu pada lori.

"Tindakan itu sebagai cara mereka mengaburi pemeriksaan pihak berkuasa di SJR," katanya.