KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengurus pemasaran di sebuah syarikat keselamatan swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas pertuduhan menghina bekas Yang Dipertua Agong ke-15 Sultan Muhammad V, Januari lalu.
Tertuduh, Eric Liew Chee Ling, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy.
Mengikut pertuduhan, Eric didakwa telah menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook melalui profil 'Eric Liew" secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik menghina Sultan Muhammad V dalam laman Facebook miliknya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain antara pukul 7. 01 petang hingga 9. 23 malam.
Kesalahan itu dibaca jam 8 malam di pejabat unit Siasatan Jenayah Terkelas, D5, Jabatan Siasatan Jenayah Tingkat 2, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 6 Januari lalu.
Dakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta yang sama iaitu denda RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Kamal mencadangkan jaminan RM20,000 kerana ia membabitkan kes berprofil tinggi selain membuktikan bahawa mahkamah memandang serius kes itu.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, New Sin Yiew merayu jumlah ikat jamin itu dikurangkan atas alasan kes sedemikian sebelum ini hanya dikenakan jumlah jaminan yang rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin menetapkan 26 Mac ini untuk sebutan semula kes.
ARTIKEL BERKAITAN: Eric Liew mohon maaf hina Sultan Muhammad V